Syed Saddiq
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap ketika sesi sidang media pada Majlis Perasmian Seminar Penyelidikan Belia Kebangsaan (YOURS 2018) di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 12 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Tindakan ahli keluarga dan rakan-rakan yang enggan menerima kehadiran bekas banduan muda merupakan antara punca mereka terus melakukan jenayah sehingga kembali semula ke dalam penjara.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, perkara itu mungkin tidak berlaku sekiranya semua pihak memberi sokongan moral kepada banduan muda secara berterusan.

“Bantulah mereka dengan memberikan peluang kedua untuk berubah. Apatah lagi terdapat statistik mengatakan satu daripada dua bekas banduan kembali semula ke penjara.

“Siapa lagi yang akan bantu kalau bukan kita sebagai masyarakat yang prihatin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Penyelidikan Belia Kebangsaan 2018 (YOURS’18) dengan tema Mendepani Cabaran Agenda Sosial Ke Arah Kesejahteraan Belia di sini hari ini.

YOURS’18 merupakan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) berlangsung sehingga esok.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq memberitahu, kini terdapat syarikat swasta yang berminat untuk memberikan peluang kedua kepada mana-mana bekas penghuni penjara bagi meneruskan kehidupan sebaik dibebaskan.

Beliau berkata, usaha itu seharusnya menjadi contoh kepada semua pihak terutama masyarakat.

“Stigma masyarakat terhadap banduan perlu dihentikan kerana mereka berhak diberi peluang kedua untuk memperbaiki kesilapan.

“Kebanyakan bekas banduan kembali ke dunia lama kerana pandangan negatif masyarakat yang enggan menerima mereka.

“Hakikatnya, mereka mempunyai potensi tersendiri dan wajar diberi peluang kembali ke landasan yang betul,” tambahnya lagi.

Baru-baru ini, Syed Saddiq telah melancarkan Projek Reben Kuning yang merupakan satu inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Jabatan Penjara, Kementerian Dalam Negeri serta badan-badan bukan kerajaan bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat seterusnya meningkatkan sistem sokongan terhadap bekas banduan.

KBS, kata Syed Saddiq, akan melihat peluang kerjasama dengan mana-mana organisasi dan komited dalam mencari mekanisme terbaik untuk membantu bekas banduan meneruskan kehidupan dengan lebih baik. – MalaysiaGazette