KLIA

KUALA LUMPUR – Rangkaian lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen di Istanbul, mencatatkan peningkatan 0.5 peratus kepada 10.69 juta pergerakan penumpang pada Oktober berbanding 10.64 juta dalam tempoh sama sebelum ini.

Pengendali lapangan terbang itu berkata, trafik antarabangsa mencatatkan 5.07 juta pergerakan penumpang, meningkat 2.2 peratus tahun ke tahun, manakala pergerakan penumpang domestik merosot 1.0 peratus kepada 5.62 juta pergerakan penumpang berbanding Oktober 2017.

“Permintaan yang tidak aktif untuk perjalanan udara di lapangan terbang di Malaysia menunjukkan kelemahan dari September 2018. Ini jelas daripada faktor beban yang merosot dicatatkan dalam sektor domestik dan antarabangsa,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

MAHB berkata, prestasi pergerakan penumpang secara keseluruhan di lapangan terbang Malaysia sebahagiannya terjejas oleh penstrukturan semula laluan syarikat penerbangan dengan syarikat penerbangan yang menawarkan lebih banyak hubungan antarabangsa secara langsung daripada anak syarikat milik penuhnya, lapangan terbang Malaysia Airports Sdn Bhd, memintas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Pada asas 12 bulan lalu, jumlah rangkaian lapangan terbang MAHB mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.4 peratus dengan 132.33 juta penumpang, jumlah penumpang tertinggi dikendalikan setakat ini turut dicatatkan pada September 2018.

Pergerakan pesawat secara keseluruhan naik 4.1 peratus dengan pergerakan pesawat antarabangsa dan domestik, masing-masing mencatatkan peningkatan 3.3 peratus dan 4.6 peratus berbanding Oktober 2017.

Walaupun pergerakan penumpang rendah pada Oktober 2018, pertumbuhan penumpang dua angka dicatatkan dalam sektor termasuk Adelaide, Bangalore, Bangkok, Batam, Brisbane, Cam Ranh, Chengdu, Fuzhou, Honolulu, Jeddah dan Narita.

Sebanyak 13 syarikat penerbangan mencatatkan pertumbuhan dua angka pada Oktober 2018 bagi pergerakan penumpang antarabangsa seperti Air Mauritius, Indonesia AirAsia, Saudi Arabian, Shanghai Airlines dan Tiger Airways.

Mengenai masa depan, MAHB menjangka cabaran bagi momentum pertumbuhan biasa, misalnya, kenaikan harga minyak boleh memberi kesan kepada syarikat penerbangan dan trafik penumpang dalam jangka masa sederhana dan panjang.

“Ketidaktentuan mengenai ketegangan perdagangan antara AS dan China, semakan semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan KDNK Malaysia yang rendah adalah faktor yang mencabar kepada perjalanan udara,” katanya. – MalaysiaGazette