Penerbit telemovie Meigho, Datuk Seri Dr. Rusli Zaman.
Penerbit telemovie Meigho, Datuk Seri Dr. Rusli Zaman.

KUALA LUMPUR – Baru-baru ini makan malam amal dan tayangan perdana telemovie bertajuk Meigho di Kelantan mendapat sambutan luar biasa.

Tayangan yang dibuat di Hotel Perdana Kota Bharu menyaksikan penonton ‘melimpah’ sampai ada yang terpaksa duduk di lantai pada 29 September lalu.

Poster telemovie Meigho

Ternyata ada sesuatu yang menarik dalam telemovie berkenaan sehingga pihak penerbitnya berhasrat menayangkan semula atas permintaan ramai tidak lama lagi.

Meigho bermaksud ‘membela’ dalam loghat Kelantan dan biasanya ia melibatkan seseorang itu ‘memelihara’ makhluk halus bagi tujuan tertentu.

Ia mengisahkan kehidupan bekas pelacur, Mek Jaghoh yang mengamalkan ilmu syirik sehingga membawa kesukaran pada saat-saat akhir kematiannya disebabkan oleh ‘perjanjian’ dengan makhlus halus yang belum terlaksana.

Pelakon terlibat dalam telemovie itu antaranya ialah Mustapha Kamal, Elly Mazlein, Jue Aziz, Sawas Haida, Iqram Dinzly, Datuk Seri Eizlan Yusof, Bea Rameshan, Miny Ghazi, Jedy Yunus, Maaruf Aziz, Haddi Al Haq, Along PM dan penampilan istimewa Sabri Yunus.

Datuk Seri Dr. Rusli Zaman juga terlibat sebagai penerbit dan pelakon pembantu dalam telemovie yang sama.

Menurut Rusli, Meigho merupakan adaptasi daripada cerita sebenar berlaku dalam masyarakat Melayu dan yang telemovie seram pertama di Kelantan.

“Cerita ini berlaku apabila manusia ‘bertuhankan’ syaitan dan berkisar mengenai kisah benar yang berlaku di negeri Kelantan. Kalau zaman-zaman dulu orang hendak cantik, hendak lawa jadi mereka banyak membela jin atau hantu pelesit.

“Telemovie ini membawa mesej dakwah dan pengajaran supaya jangan ada antara kita menjadikan syaitan sebagai tuhan dan bergantung sepenuhnya kepada Allah.

“Jadi, cerita ini telah dijadikan sebuah telemovie dan kami mengambil masa kira-kira dua tahun menyiapkannya selepas berdepan dengan pelbagai masalah dan kekangan,” ujarnya kepada Malaysia Gazette baru-baru ini.

Menurut Rusli, pengarah dan penulis skrip Meigho adalah Zack Zaideen yang berpengalaman hampir tiga dekad dalam teater dan kini berjaya membawa skrip itu ke layar perak.

Beliau memberitahu, pelbagai pengalaman Zack, pelakon dan kru terpaksa tempuh termasuk gangguan mahkluk halus semasa proses penggambaran.

“Saya ambil alih cerita ini setelah dua tahun beliau (Zack) menyiapkan cerita ini..mana tidaknya, macam-macam perkara berlaku. Ada yang kena rasuk, kadang-kadang tengah shooting ada bunyi orang ketawalah dan macam-macam lagi,” ujar.

Malah menurut beliau, jurugambar telemovie itu juga pernah mengalami sakit seolah-olah lehernya dicekik namun semuanya kini menjadi pengalaman yang bermakna kepada mereka.

“Saya sebagai produser cuba merealisasikan cerita Meigho ini kerana jalan cerita sangat hebat, saya baru dalam bidang ini jadi saya banyak dibantu oleh kawan-kawan artis yang lain.

“Alhamdulilah, kita berjaya buat tayangan amal sehingga ada dalam kalangan penonton terpaksa berdiri dan duduk atas lantai sebab dewan penuh,” kata Rusli.

WhatsApp Image 2018-11-07 at 8.54.37 PM
Penonton telemovie Meigho terpaksa duduk atas lantai ketika menyaksikan tayangan perdana di Kota Bharu pada 29 September lalu.
WhatsApp Image 2018-11-07 at 8.54.38 PM
Sebahagian penonton terpaksa berdiri ketika menonton tayangan amal telemovie Meigho di Kota Bharu pada 29 September lalu.

Justeru, atas permintaan ramai, tayangan perdana telemovie Meigho akan diadakan pada 28 Disember ini pukul 8 malam di Hotel Perdana Kota Bharu.

Paling menarik, para penonton akan dihiburkan dengan penampilan istimewa penyanyi yang dikenali sebagai Papa Rock, Ramli Sarip yang dikenali dengan lagu-lagu ketuhanan.

Bagi tayangan perdana selama satu jam 45 minit, para penonton akan dihiburkan dengan tiga buah lagu persembahan Papa Rock.

WhatsApp Image 2018-11-07 at 8.56.41 PM (1)

Tiket platinum dijual pada harga RM200 manakala tiket gold berharga RM150 dan tempat terhad 400 kerusi sahaja.

Sesiapa berminat boleh menghubungi wakilnya, Azman menerusi talian 013-313 3331.

Menurut Rusli, rata-rata penonton yang melihat telemovie Meigho memuji inisiatif pihaknya dan ada yang mengakui ‘terbayang-bayang’ selepas balik ke rumah.

Selepas itu, menurut Rusli, telemovie berkenaan akan djual kepada Astro First bagi membolehkan lebih ramai khalayak menyaksikannya.

Dalam pada itu, sebagai penerbit, Rusli berharap Meigho terus melakar kejayaan dan merancang untuk menerbitkan pula Meigho The Movie untuk tayangan di pawagam.

“Insya Allah saya dalam proses perbincangan untuk mengadakan Meigho The Movie,” ujarnya sambil menambah pihaknya juga merancang menerbitkan filem epik perjuangan Tok Janggut menentang British di Kelantan.

Bagi filem Tok Janggut, pihaknya kini masih dalam proses penulisan skrip dan pemilihan pelakon.

Seterusnya, pihaknya melalu ZZ Karya Production Sdn. Bhd. juga mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat televisyen kerajaan dan swasta untuk menerbitkan lebih banyak telemovie.

Selain produksi filem, Rusli sebelum ini dikenali usahawan dalam bidang kontraktor, restoran, sekuriti yang mengendalikan kira-kira 300 lesen senjata api terbanyak di Malaysia.

WhatsApp Image 2018-11-09 at 11.02.56 PM

Datuk Seri Dr. Rusli Zaman.Selain itu beliau juga aktif sebagai penganjur pameran artifak-artifak sejarah dan peninggalan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda.

Rusli juga Penasihat Universiti Utara Malaysia bagi Muzium Pengurusan Universiti.

Apa pun, menurut Rusli, usaha yang dilakukannya itu atas niat dakwah yang boleh dilakukan merangkumi pelbagai medium termasuk industri hiburan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast