Gelagat murid membaca buku sebelum menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula hari ini ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Rendah Seri Bintang Selatan, Taman Shamelin, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 24 SEPTEMBER 2018

MUAR – Tindakan Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pelajaran (PSKPP) Johor meminta setiap pelajar membeli lima buah buku latihan berharga 90 sen setiap satu telah menimbulkan reaksi negatif.

Keadaan itu lebih-lebih lagi membebankan pelajar di Muar dan Tangkak kerana selain daripada lima buah buku latihan PSKPP, sekolah di dua kawasan tersebut juga diminta pejabat pendidikan daerah untuk membeli lima lagi buku latihan yang dijangka akanĀ  dijual 70 sen tahun ini.

Entiti berkenaan dikatakan meminta sekolah membeli buku latihan mengikut jumlah dan harga yang ditetapkan, walaupun sesetengah sekolah tidak memerlukan jumlah sebanyak itu.

China Press melaporkan, buku latihan yang dijual untuk menampung perbelanjaan mempromosi aktiviti sukan dan budaya selain hari sukan peringkat daerah itu menyebabkan sesetengah sekolah di Muar dan Tangkak berdepan masalah lambakan buku latihan.

Akhbar itu melaporkan, banyak sekolah akur dengan kehendak dua entiti peringkat negeri dan daerah itu walaupun buku latihan dijual dengan harga lebih mahal berbanding di pasaran.

PSKPP dilaporkan diketuai pengarah jabatan pendidikan negeri dan sekolah yang ada tidak mahu meregangkan hubungan dengan jabatan itu.

Walaupun begitu, sudah ada ibu bapa yang meluahkan rasa tidak puas hati apabila buku latihan PSKPP semakin mahal dan mencecah 90 sen sebuah, iaitu 20 sen hingga 30 sen lebih mahal berbanding harga pasaran.

Sesetengahp murid tahap pertama dari tahun satu hingga tiga di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC) juga dilaporkan tidak memerlukan jenis buku latihan bergarisan yang dibekalkan.

Pengerusi Lembaga Pengelola SRJKC Chi Ming di Tangkak, Datuk Goh Tee Tee berkata, kedai di sekolah telah mengumpul terlalu banyak stok buku latihan yang tidak terjual sehingga berwarna kekuningan dan tidak lagi sesuai digunakan selepas disimpan terlalu lama.

Dalam pada itu, sesetengah sekolah dilaporkan tidak membeli berdasarkan jumlah yang ditetapkan, tetapi akan memberi penjelasan bertulis.

Pengarah Pendidikan Johor yang juga Presiden PSKPP, Shaharudin Sharif menjelaskan, PSKPP hanya meminta dan bukannya mewajibkan pelajar membeli.

Menurutnya, memandangkan peperiksaan tidak akan lagi diadakan untuk murid tahun satu hingga tiga, PSKPP kini hanya meminta murid tahun empat hingga enam untuk membeli buku latihan.

Katanya, penghasilan buku latihan adalah dilakukan melalui tender terbuka, tetapi 10 sen daripada setiap buku latihan yang dijual akan dijadikan sebagai derma kepada PSKPP.