Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS), Muhammad Faizzuddin Mohd Zai (tengah) bersama sebahagian aktivis mahasiswa berjalan kaki dari Universiti Malaya (UM) ke Parlimen sebagai tanda protes keatas dasar potongan gaji secara automatik buat pemimjam PTPTN yang bergaji RM1000 ke atas di Parlimen, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 14 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Isu pembayaran semula pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus panas berikutan pusingan u yang dilakukan kerajaan.

Terbaharu, sekumpulan mahasiswa dikenali Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) sanggup berjalan kaki berarak dari Universiti Malaya ke Parlimen sejauh sembilan kilometer untuk menyerahkan memorandum tuntutan berhubung isu PTPTN.

Kata kumpulan pelajar ini, kerajaan PH telah bertindak kejam dan hipokrit berbanding dengan kerajaan BN dalam isu pembayaran semula pinjaman PTPTN yang dilakukan dengan cara pemotongan gaji.

Malah mereka terpaksa melakukan protes jalanan kerana terasa sangat tertekan dengan pengumuman baharu kerajaan bahawa hanya sesiapa yang memiliki gaji kurang daripada RM1,000 sahaja tidak membayar semula pinjaman tersebut.

Presiden Gamis, Muhammad Faizzuddin Mohd. Zai melahirkan rasa kecewa tidak dapat bertemu Menteri Pendidikan untuk menyampaikan memorandum itu sebaliknya Dr. Maszlee Malik hanya menghantar wakil.

“Kami mahu menyatakan rasa kecewa tidak terhingga kami, kami mahu bercakap sendiri dengan menteri. Beliau hipokrit kerana bercakap tentang demokrasi tetapi minta kami tunggu di tepi jalan sahaja.

“Ingat, kami bukan dari syarikat besar yang boleh melobi kerajaan, kami hanya golongan pelajar miskin dan akan menjadi lebih miskin selepas pemotongan gaji dilakukan setiap bulan oleh kerajaan secara ‘paksa’,” luahnya.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berucap pada Majlis Pelancaran Program Keselamatan Kanak Kanak Sahabat Bijak Selamat dan Lindung sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia 2018 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 OKTOBER 2018.
Dr. Maszlee Malik

Dalam pada itu, Maszlee ketika menjawab permintaan para mahasiswa itu menyatakan dirinya akan mengambil kira setiap cadangan serta pendapat yang diberikan oleh semua pihak tentang pembayaran semula PTPTN.

“Insya Allah segala input yang diberikan oleh mana-mana pihak berkaitan isu PTPTN ini akan kita berikan pertimbangan mengikut kepada keadaan ekonomi negara.

“Saya konsisten dengan manifesto PH berkenaan PTPTN dan kita akan usahakan yang sebaik mungkin,” katanya melalui laman sosial Facebook beliau malam ini.

Sebelum ini, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan memohon maaf kerana badan itu tidak dapat mengotakan janji yang telah dibuat pada manifesto pilihan raya umum yang lepas untuk memansuhkan PTPTN.

Sebelum ini, janji manifesto menyebut sehingga seorang graduan itu mencapai gaji mencecah sehingga RM4,000 ke atas, mereka tidak perlu membayar pinjaman PTPTN.

Alasan yang diberikan oleh kerajaan ialah mereka tiada pilihan lain selain daripada meminta peminjam melangsaikan hutang kerana terbeban dengan hutang tunggakan sebanyak RM40 bilion yang belum diselesaikan oleh para peminjam sebelum ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2019, kerajaan mengumumkan jadual pembayaran balik bagi PTPTN dengan cara potongan gaji antara dua peratus hingga 15 peratus terhadap peminjam yang bergaji lebih RM1,000 ke atas. –MalaysiaGazette