Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak yang pernah diasak oleh Pakatan Harapan semasa mereka menjadi pembangkang kerana tidak mengenakan cukai kekayaan, warisan dan cukai keuntungan hari ini turut melemparkan soalan sama kepada kerajaan.

Beliau juga mempersoalkan mengapa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memansuhkan Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Negara (NRRET) yang ditubuhkan semasa pentadbirannya.

NRRET diwujudkan untuk menyasar dan menangkis isu-isu berkaitan pelarian cukai dan duti kastam berskala besar oleh tauke dan korporat kaya, aktiviti penyeludupan dan mengawal pengaliran dana keluar negara secara haram.

“Bukan main lama, PH menuduh saya hanya mahu membela orang kaya. Bertahun-tahun mereka bertanya mengapa cukai kekayaan, warisan dan cukai keuntungan modal tidak dilaksanakan.

“Malah turut dimasukkan bertahun-tahun di dalam belanjawaan alternatif mereka sambil menghasut rakyat bahawa Najib hanya mahu tolong dan pertahankan orang kay kerana cukai-cukai ini tidak diperkenalkan masa saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Najib mengakui kerajaan Barisan Nasional letih untuk menjelaskan mengapa cukai itu tidak dapat dilakukan.

Tetapi PH kata kerajaan dahulu berbohong dan mendakwa Barisan Nasional mahu pertahankan kroni-kroni sahaja.

“Kini mereka sudah ambil kuasa. Cukai-cukai yang mereka pernah laungkan-laungkan sekian lama tidak juga diperkenalkan.

“Alasan Guan Eng kerana tidak mahu cetus kejutan kepada pasaran modal. Mengundang pelbagai kesan negatif.

“Boleh saya buat dakwaan yang sama bahawa PH hanya mahu pertahankan kroni-kroni dan rakan-rakan taikun mereka?” soal Najib pula. – MalaysiaGazette

Cukai kemewahan boleh jejas pemulihan fiskal defisit negara – Lim