Azmin
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersalaman dengan sebahagian para perwakilan yang hadir pada Majlis Perasmian Kongres Nasional Tahunan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) dan Wanita sempena Kongres KEADILAN ke-13, 2018 di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 15 NOVEMBER 2018.

SHAH ALAM – Kekecohan dan kontroversi yang berlaku dalam PKR semasa pemilihan parti bukan suatu yang pelik, namun kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ia merupakan simbol demokrasi yang diamalkan anggota mereka.

Sehubungan itu, beliau percaya PKR akan bersatu selepas pemilihan walaupun banyak bantahan dan ketidakpuasan hati yang disuarakan pada waktu ini.

“Kenapa kita dilihat bising (dalam pemilihan) sebab kita sangat demokratik tidak sorok masalah kita.

“Kita benarkan anggota bicara masalah secara terbuka, tegur kepimpinan bagi saya ini sihat mungkin saudara lihat pelik kerana UMNO – BN tidak berlaku perkara ini.

“Saya yakin kita makin kuat selepas pemilhan parti,” katanya kepada pemberita di sidang media selepas perasmian Kongres Nasional Tahunan AMK dan Wanita Ke-13 2018 di IDCC.

Terdahulu beliau ditanya adakah PKR dapat bersatu semula selepas pemilihan parti yang dilihat menimbulkan kekecohan dan kontroversi berhubung undi hilang, sistem pengundian selain dakwaan politik wang yang berlaku.

Azmin terdahulu dalam ucapan perasmiannya berkata, perpaduan dalaman parti merupakan benteng untuk menentang ancaman daripada luar.

“Selepas setiap pemilihan, kita perlu memberikan tumpuan kepada perpaduan parti. Perpaduan dalaman yang utuh adalah benteng kepada ancaman luaran,” katanya ketika berucap pada majlis itu. -MalaysiaGazette