Tan Sri Anifah Aman
Anifah Aman

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2019 yang dibentangkan baru-baru ini disifatkan tidak lebih daripada indah dengan ‘angka-angka’ namun ia tidak banyak membawa manfaat atau kebaikan kepada Sabah dan Sarawak.

Menurut Ahli Parlimen Kimanis (Bebas), Datuk Seri Anifah Aman, sejumlah RM5.009 bilion diperuntukkan kepada Sabah, iaitu peningkatan 20 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Kata Anifah, pihaknya masih lagi perlu menuntut janji-janji yang telah dipersetujui semasa pembentukan Malaysia.

“Walaupun dengan pembentangan peruntukan yang lebih tinggi, nasib Sabah dan Sarawak tetap sama. Seperti kebiasaan dalam mana-mana pembentangan dasar kerajaan yang penting ialah kerajaan akan berikhtiar bersunguh-sungguh tiada rakyat tercicir daripada menikmati manfaat serta pembangunan.

“Malangnya suara dan rungutan rakyat Sabah dan Sarawak selama 55 tahun gagal didengari malah kerajaan tidak boleh lagi meminta agar rakyat bersabar dengan ketidakselesaan kesulitan yang timbul akibat perancangan yang pincang.

“Kami tidak akan berdiam lagi, Sabah dan Sarawak tidak boleh terus ketinggalan. Pakatan Harapan perlu benar-benar serius membangun dan meningkatkan kesejahateraan hidup rakyat kami. Tolong kembalikan status ‘equal patner’ kepada kami sebagaimana dalam MA63,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 di Dewan Rakyat sebentar tadi.

Anifah yang baru-baru ini bertindak meninggalkan UMNO dan menjadi Ahli Parlimen bebas menambah, belanajawan 2019 adalah bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan, sekaligus mendukacitakan kerana ini bukan janji awal kerajaan PH jika berjaya mengambilalih Putrajaya.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri pernah melahirkan rasa wujudnya keperluan pembangunan Sabah dan Sarawak harus diberikan fokus kerana masih terdapat daerah-daerah yang mundur dengan kelengakapan amat daif.

“Malangnya dasar dan belanjawan masih memperlihatkan perancangan berat sebelah atau tidak menepati sasaran yang ditetapkan.

“Inikah Malaysia yang dijanjikan kepada rakyat Sabah an Sarawak? Jurang ekonomi antara Sabah dan Sarawak dengan Semennajung terus menghantui sehingga saat ini, bukankah ini masanya untuk mencari pendekatan baru bagi mencapai aspirasi?

“Jangan beri lagi ‘janji terang bulan’ kepada kami. Cukuplah. Tolong berlaku lebih adil kepada kami,” ujarnya. – MalaysiaGazette