Maszlee Malik

PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, terdapat keperluan untuk Suruhanjaya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dibawa ke Parlimen dan dikelolakan dari situ.

Menurutnya, langkah itu akan meningkatkan daya saing sektor tenaga mahir di negara ini sekaligus mencerminkan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) serius mahu membawa program itu ke peringkat yang lebih tinggi.

“Cadangan berhubung (penubuhan) suruhanjaya itu akan dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi.

“Pada mesyuarat Kabinet lepas kita telah memutuskan penyelarasan (suruhanjaya) akan diketuai oleh dua kementerian utama iaitu Kementerian Pendidikan dan Kementerian Sumber Manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri majlis Dialog Industri Kebangsaan 2018 mengenai Amalan Terbaik Membentuk Landskap Ekonomi TVET di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Cadangan penubuhan Suruhanjaya TVET diilhamkan Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan TVET Malaysia, Nurul Izzah Anwar.

Langkah penubuhan suruhanjaya itu difikirkan wajar bagi penyelarasan lebih cekap dalam bidang berkenaan di masa depan.

Beliau berkata, suruhanjaya itu antara lain perlu berfungsi sebagai penggerak utama dalam usaha meningkatkan TVET dengan menyelaraskan tujuh kementerian yang bertanggungjawab, sebagai langkah memenuhi keperluan tenaga mahir negara.

Ia mendapat tentangan daripada Timbalan Pengerusi Gerakan TVET, Datuk Ahmad Tajudin Jab.

Ahmad Tajudin menyifatkan suruhanjaya tersebut tidak praktikal dan mustahil untuk dilaksanakan kerana adanya tujuh kementerian yang mempunyai kuasa penuh dalam pengurusan TVET masing-masing. -MalaysiaGazette