Fotografi bersama Fazura selepas sesi Tandatangan Perjanjian "360 Talent Management" antara Universal Music & Fazura di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 02 FEBRUARI 2017

KUALA LUMPUR – Pelakon Nur Fazura Sharifuddin mengesahkan dia belum lagi hamil selepas hampir setahun berkahwin dengan pelakon Fattah Amin.

Menjelaskan perkara itu, Fazura, 35, berkata, dia ditahan di hospital baru-baru bukan kerana mengalami alahan peringkat awal kehamilan.

“Saya sebenarnya ditahan di hospital kerana alergik makanan selepas makanan di sebuah restoran dan pada masa sama mengambil sejenis ubat.

“Saya pun tak sangka kerana selama ini saya tidak pernah alami alergik. Jadi ditahan di hospital bukan kerana hamil.

“Insya-Allah kalau saya hamil akan umumkan kepada semua. Semua pasangan berkahwin pasti menyimpan impian untuk memiliki zuriat,” katanya.

Fazura berkata demikian pada sidang media Konsert Elmina Lakeside anjuran Sime Darby Property dengan kerjasama Universal Music Malaysia di Shah Alam baru-baru ini.

Pemenang trofi Pelakon Filem Wanita Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 turut berkongsi pengalaman apabila mendakwa terdapat cubaan pihak tertentu mengganggu rumah tangganya dengan mewujudkan akaun media sosial palsu menggunakan identiti dirinya dan Fattah, 28.

Fazura berkata tujuan akaun palsu itu untuk mencipta isu bagi mengeruhkan hubungan dirinya dengan Fattah.

“Nasib baik peminat saya yang maklumkan hal itu. Ada cubaan cipta isu untuk kami bergaduh dan biasalah adat perkahwinan ada dugaan.

“Saya bersyukur memiliki suami yang baik dan peminat yang sentiasa positif,” katanya.

Sementara itu pada Konsert Elmina Lakeside, Fazura bakal berkongsi pentas dengan bekas anggota kumpulan Westlife, Shane Filan dan seorang lagi artis yang masih dirahsiakan namanya.

Konsert dan karnival mini itu akan diadakan di kawasan perumahan, City of Almina, di Shah Alam pada 19 Januari depan. – MalaysiaGazette