KUALA LUMPUR – Tindakan Menteri Pengangkutan (MOT), Anthony Loke membuat tuduhan seorang kenamaan ‘menceroboh’ dan memakai selipar menggunakan laluan VIP terus mendapat perhatian pelbagai pihak.

Rata-rata mereka melahirkan rasa kurang senang berikutan tindakan Anthony yang dianggap tidak menggunakan ‘protokol’ menghubungi Yang DiPertua Dewan Negara, Tan Sri SA Vigneswaran terlebih dahulu sebelum tampil membuat kenyataan berbaur tuduhan yang disifatkan serius.

Menurut Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC, Punithan Paramsiven, isu pemakaian selipar sebenarnya adalah hal remeh yang boleh diselesaikan dengan lebih baik, antaranya bercakap dengan semua pihak terlebih dahulu.

Kata Punithan, Anthony juga menuduh Vigneswaran sudah melakukan kesalahan menceroboh keselamatan walaupun dalam rakaman CCTV tidak menunjukkan seperti yang didakwa.

“Vigneswaran sudah jelaskan, beliau hanya lakukan sesuatu yang sudah menjadi amalan selama ini, jika kerajan berubah ianya perlu di jelaskan. Malah pemakaian selipar juga perlu di jelaskan terlebih dahulu.

“Tolonglah jangan sengaja cari kesalahan untuk kepentingan peribadi anda semata-mata. Banyak lagi isu yang belum dapat diselesaikan oleh Anthony sehingga kini terutamnya hal berkaitan dengan teksi yang asyik membuat demonstrasi mahukan perhatian.

“Jangan cuba beri gambaran isu selipar adalah kepentingan dan keutamaan anda. Itu bukan agenda MOT saya pasti, saya juga nasihatkan anda untuk bercakap dengan Vigneswaran terlebih dahulu. Adil itu bukan salatu prinsip di pegang oleh kamu?

“Insiden seperti ini seolah-olah membuktikan politik dendam terutamanya terhadap pemimpin pembangkang jauh lebih penting daripada agenda utama rakyat dan pembangunan negara,” katanya.

Punithan mengulas sidang media Anthony yang mendapati Vigneswaran telah melanggar peraturan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 14 November lepas.

Vigneswaran didakwa menceroboh ruang keselamatan dengan melalui kawasan laluan VIP tanpa menjalani prosedur pemeriksaan badan dalam kejadian pada kira-kira 10.20 malam.

Anthony juga mendakwa ketika mahu melalui laluan VIP itu, hanya pegawai keselamatan wanita yang sedang bertugas berada di situ dan Vigneswaran enggan menunggu pegawai keselamatan lelaki datang untuk melakukan pemeriksaan badan.

Sujitha Soorian

Sementara itu, Ketua Wanita MIC Kepong, Sujita Soorian berkata, tidak ada salahnya atau pelik apabila seseorang memakai selipar apabila mengalami luka pada bahagian kaki.

“Protokol lain sebenarnya beliau telah patuhi. Mengapa perlu cari kesalahan sehingga selipar itu dijadikan sebagai isu. Beliau hanya gunakan laluan VIP sahaja bukan bilik VIP, malah pemakaian kod pakaian juga telah dipatuhi olehnya.

“Beliau bukan memakai tidak senonoh sehingga memalukan golongan kenamaan yang lain di situ sehingga mahu dijadikan isu seperti ini. Tolong celik sebelum buat tuduhan melulu seperti ini.

“Banyak lagi perkara penting yang boleh dijadikan isu, malah sikap bertegas oleh pemimpin seharusnya perlu dicontohi tetapi dalam hal ini, rasanya Anthony sudah menyalahkan isu ini untuk tujuan publisiti,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk R Sri Sanjeevan turut meminta Anthony untuk memberi fokus kepada isu-isu yang lebih penting di Kementerian beliau.

“Anthony, tolong fokus isu berkaitan rasuah di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terlebih dahulu, anda mempunyai skandal jauh lebih besar daripada isu selipar ini,” katanya dalam Twitter. –MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2018/11/18/anthony-loke-cukup-cukuplah-tunjuk-kehebatan-mic/

http://malaysiagazette.com/blog/2018/11/17/anthony-jangan-buat-tuduhan-melulu-vigneswaran/