KUALA LUMPUR – Dana luar pesisir merekodkan aliran keluar yang tinggi kepada RM417.3 juta pada minggu lalu, iaitu lebih daripada dua kali ganda berbanding minggu sebelumnya.

MIDF Research berkata, berlaku peningkatan aliran keluar dalam tiga hari pertama pada minggu lalu.

Jumlah dana yang dibawa keluar pada hari Isnin berjumlah RM49.5 juta, meningkat kepada RM177.8 juta pada keesokan harinya menyebabkan FBM KLCI ditutup rendah dalam sembilan hari dagangan kepada 1,687.57 mata.

Firma penyelidikan itu berkata, sentimen pelabur dijejaskan oleh kelemahan harga minyak Brent yang berlarutan enam hari berturut-turut, seiring dengan kejatuhan saham-saham teknologi di Wall Street selepas pembekal Apple, Lumentum Holdings Inc menerbitkan profail amaran yang mengakibatkan kejatuhan saham Apple sebanyak 5.0 peratus.

“Hari Rabu menyaksikan jualan bersih asing sebanyak RM200.4 juta, kebetulan seiring dengan kejatuhan ringgit sebanyak 0.1 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat AS$/4.1958 – paras terendah dalam tempoh setahun.

Bursa tempatan, menurut MIDF Research melantun sebanyak 0.1 peratus untuk ditutup kepada 1,688.41 mata pada hari yang sama.

Jualan besar-besaran pada hari Rabu juga berlaku dalam pasaran di Taiwan dan Thailand.

Pergeseran bersih asing berkurangan sebanyak RM30.3 juta pada hari Khamis berikutan kebimbangan pertikaian perdagangan selepas China menghantar respons kepada permintaan Amerika Syarikat mengenai pembaharuan perdagangan.

Pada hari Jumaat menyaksikan belian bersih pelabur asing sbeanyak RM40.6 juta selepas berita peletakan jawatan Setiausaha Brexit, Dominic Raab.

MIDF Research menambah, aliran keluar pelabur asing pada bulan November sebanyak RM421.8 juta manakala jualan oleh pelabur asing dalam ekuiti tempatan sehingga kini berjumlah RM10.3 bilion.

Katanya, Malaysia masih merupakan pasaran kedua terendah yang merekodkan aliran keluar dalam empat pasaran ASEAN yang dipantau. – MalaysiaGazette