Datuk Darell Leiking.
Darell Leiking

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah meluluskan pelaburan asing berjumlah RM26.5 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun 2018.

Projek-projek yang diluluskan ini merangkumi projek di dalam sektor utama perkilangan dan perkhidmatan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking berkata, sebahagian besar daripada RM26.5 bilion pelaburan asing yang diluluskan adalah dalam sektor perkilangan iaitu RM15.2 bilion (57.4%) diikuti oleh sektor perkhidmatan iaitu RM6.0 bilion (22.6%) dan RM5.3 bilion (20%) dalam sektor utama.

Dalam sektor perkilangan, China mencatatkan jumlah pelaburan asing tertinggi sebanyak RM6.6 bilion, diikuti oleh Republik Korea (RM2.4 bilion), Jepun (RM1.6 bilion) dan Singapura (RM0.8 bilion).

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) yang bertanya jumlah FDI pada tahun ini dan jumlah pelaburan dari China.

Darell berkata, industri-industri utama yang menyumbang kepada pelaburan asing daripada China adalah produk getah sebanyak RM3.1 bilion, produk logam asas sebanyak RM2.9 bilion dan produk petroleum (termasuk petrokimia)
berjumlah RM309 juta.

Tambahnya, kerajaan akan terus melaksanakan langkah-langkah untuk meraih keyakinan dan kepercayaan pelabur asing untuk terus melabur di negara Malaysia.

Antaranya menambahbaik dasar-dasar semasa yang mesra perniagaan, termasuk meliberalisasikan dasar-dasar bagi menggalakkan pelaburan, terutamanya pelaburan berkualiti di seluruh negara serta memudahcara kemasukan dan pelaksanaan projek-projek pelaburan.

Menambahbaik pelbagai strategi dan insentif sebagai pemangkin dalam usaha menggalakkan pelaburan terutamanya yang melibatkan teknologi tinggi selaras dengan tren industri termasuk projek pelaburan berasaskan Industri 4.0 dan automasi;

Selain itu, meningkatkan hubungan dan penyertaan pihak industri dalam sesi konsultasi kementerian dengan komuniti perniagaan secara konstruktif dan memperkukuhkan iklim pelaburan di Malaysia perdagangan, serta dasar dan insentif terkini kepada pelabur-pelabur yang berpotensi. – MalaysiaGazette