KAJANG – Anthony Loke Siew Fook bersedia berdepan dengan tindakan undang-undang mungkin diambil ke atasnya oleh Tan Sri S. A. Vigneswaran, Yang Dipertua Dewan Negara.

Menteri Pengangkutan itu berkata, ia adalah hak Vigneswaran untuk berbuat demikan.

“Terpulang kepada dia, suka hati dia.

“Itu hak dia, kalau dia nak ambil tindakan undang-undang apa saya boleh buat,” katanya dalam sidang media Majlis penyerahan laporan status pelaksanaan 51 syor penambahbaikan PBB di Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), hari ini.

Vigneswaran sebelum ini memberitahu, beliau sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Loke selepas Menteri itu mendakwa beliau melanggar peraturan keselamatan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada 14 November lalu.

Ditanya sama ada ini tindakan Loke itu merupakan strategi kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menyingkirkan Vigneswaran daripada jawatan Speaker Dewan Negara, Anthony berkata; “Ini tidak ada kena mengena dengan politik, saya kata ini berkenaan dengan ‘rule of law’.

Sabtu lalu, Ketua Parlimen DAP itu mendakwa Vigneswaran dengan sengaja melanggar protokol keselamatan, termasuk memakai selipar dan tidak mematuhi kod etika berpakaian, menengking kakitangan lapangan terbang serta masuk ke bilik VIP tanpa pas keselamatan.

Susulan itu, laporan polis sudah dibuat oleh pengurusan KLIA dan Kementerian Pengangkutan akan menunggu laporan penuh daripada pihak berkenaan.

Dalam pada itu, Anthony mengesahkan bahawa Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) masih belum dibincangkan di Kabinet.

Katanya, perkara itu akan dibincangkan sebaik Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pulang daripada lawatan kerja ke Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) Ke-26 di Papua New Guinea.

“Tunggu PM balik, kita tanya PM isu itu.

“(ICERD) belum dibincangkan di Kabinet,” katanya lagi.

Semalam, Dr Mahathir berkata, adalah mustahil untuk melaksanakan ICERD kerana pelaksanaannya memerlukan penggubalan semula Perlembagaan Persekutuan.

Untuk menggubal semula Perlembagaan Persekutuan, ia memerlukan dua pertiga majoriti Parlimen dan Dr Mahathir berkata, perkara itu adalah agak mustahil memandangkan jumlah Ahli Parlimen dalam kerajaan, selain reaksi daripada kedua-dua pihak termasuk pembangkang berhubung perkara terbabit. MalaysiaGazette