Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon

GOMBAK – Tindakan pemimpin pembangkang membuat bising membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Dewan Rakyat baru-baru ini hanya mengganggu proses perbincangan.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon berkata, tindakan pemimpin parti Melayu dan Islam itu tidak bijak mesti pun mereka mahu menunjukkan protes terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Dengan ICERD semua aspek perlu dipertimbangkan. Adalah tidak bijak di saat kita sedang mencari solusi dan mendengar setiap perbincangan tiba-tiba ada pihak yang memilih untuk buat ‘bising’.

“Dalam demokrasi yang sematang mana pun buat ‘bising’ untuk tujuan protes akan hanya mengganggu proses konsultasi atau perbincangan,” katanya berucap merasmikan Forum Apa perlu ICERD untuk Malaysia di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia malam tadi.

Sebelum ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengancam untuk menggerakkan demostrasi besar-besaran di ibu negara sekiranya ICERD ditandatangani.

Abdul Hadi mahu mengerahkan berjuta-juta rakyat ke jalan raya sekiranya Parlimen disalahgunakan untuk mengiktiraf agenda ICERD didakwa tidak adil terhadap Islam dan bumiputera.

Dalam pada itu, Mohd. Rashid menyindir dengan menyifatkan mana-mana pihak yang terburu-buru membantah ICERD tanpa berbincang mengenainya secara terbuka sebagai tidak demokratik.

“Perbincangan dialog yang sihat sangat penting terutamanya kita berada di era Malaysia baru di mana sebuah negara yang siap untuk berdiskusi.

“Dengan cara itu, kita dapat menyuburkan masyarakat madani. Bangsa tidak demokratik dan tertutup tidak akan berani membicarakan soal ICERD ini dengan berlapang dada,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan Malaysia baharu tidak bersetuju untuk membuat sebarang keputusan dengan tergesa-gesa.

“Saya lihat pentas (forum) ini terbaik untuk membincangkan isu ini dan bukannya melakukan demostrasi dan membuat bising dan akhirnya rakyat tidak dapat maklumat yang lebih tepat.

“Forum ini juga sebahagian daripada townhall iaitu proses mendapatkan maklumat daripada rakyat bawahan secara dua hala,” katanya.

Beliau turut berkata, ICERD bukan perkara baharu bahkan ia diwarisi daripada pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).

“ICERD ini bukan perkara baharu malah ia diwarisi daripada kerajaan terdahulu. Setakat ini, Malaysia telah meratifikasikan tiga daripada sembilan konvensyen antarabangsa mengenai hak asasi manusia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette