BANGI – Terma ‘bertujuan tidak bermoral’ dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah berhubung kesalahan lelaki berpakaian wanita perlu dipinda dan dikaji semula agar sesuai dengan perkembangan masyarakat masa kini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, perkataan yang berbeza-beza dalam setiap enakmen di negeri-negeri dilihat menyukarkan pihak jabatan agama untuk mengambil tindakan terhadap mereka.

“Kerajaan negeri perlu kaji semula enakmen jenayah syariah berkaitan terma ‘tujuan tidak bermoral’ untuk menepati keperluan masa kini. Kalau tidak dikaji dan dipinda maka tiada perubahan.

“Perkataan dalam enakmen itu berbeza-beza dalam negeri-negeri. Sebab undang-undang mahkamah syariah adalah begitu dimana enakmen adalah di bawah bidang kerajaan neger,” katanya kepada media selepas merasmikan butik kedua Nur Aishah di pusat membeli belah Ostia Bangi hari ini.

Fuziah berkata demikian mengulas mengenai pertanyaan media berhubung tindakan usahawan kosmetik, Nur Sajat yang menerusi Instagram miliknya menunjukkan aksi  berbikini di luar negara.

Perkara itu menimbulkan keresahan dan kecaman masyarakat.

Dalam Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah dibawah Seksyen 28, mana-mana lelaki yang berpakaian wanita dan berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam atas tujuan tidak bermoral adalah melakukan satu kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

 

Tambah Fuziah, skop tujuan tidak bermoral boleh dipertikaikan kerana ia sukar untuk dibuktikan melainkan terbukti lelaki berkenaan berpakaian wanita di tempat awam, dan ditangkap kerana melakukan aktiviti seks.

“Jadi kita nak buktikan ‘tujuan tidak bermoral’ itu sesuatu yang sukar untuk dibuktikan. Sebab itu saya pernah membuat kenyataan sebelum ini bahawa kalau dipinda dan dibuang (terma) ‘dengan tujuan tidak bermoral’ itu maka barulah dalam tindakan undang-undang boleh diambil.

“Maksudnya tindakan undang-undang yang kita warisi hari ini menyatakan demikian. Orang ramai tidak faham kenapa kerajaan tidak ambil tindakan, dan atas dasar apa. Sebab undang-undang itu pula dibawah enakmen kerajaan negeri,” katanya lagi.

Ujar beliau lagi, kebanyakan enakmen kerajaan negeri menyatakan bahawa dengan tujuan tidak bermoral barulah tindakan boleh diambil terhadap mereka.

Namun katanya sekiranya terma ‘bertujuan tidak bermoral’ itu tidak diubah atau dipinda maka jabatan agama Islam negeri akan menghadapi kesukaran untuk membendung gejala lelaki berpakaian wanita ini daripada terus berleluasa.

“Kalau dia buat promosi, berjalan di pertunjukan fesyen, itu susah untuk kita buktikan perkara itu bertujuan tidak bermoral. Itu antara undang-undang di negeri.

“Keperluan untuk menilai dan mengkaji berkenaan apa yang dikatakan oleh undang-undang, kalau nak kuat kuasa kena ikut undang-undang, kerana kita sebagai penguatkuasa tidak boleh langgar undang-undang tersebut,” katanya lagi. -MalaysiaGazette