Amir Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diingatkan agar tidak menjadikan kabinet Pakatan Harapan (PH) sebagai tempat melahirkan menteri-menteri yang hanya pandai mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman sehingga mengundang ketidakpuasan hati pelbagai pihak.

Demikian kata Amir Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik Abdul Rahman ketika ditanya tentang kecaman terhadap Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy baru-baru ini selepas videonya 10 tahun lalu yang bercakap tentang diskriminasi kaum India yang berlaku dalam negara kembali tular di media sosial.

“Saya berharap supaya Perdana Menteri fikir elok-elok jangan jadikan kabinet ‘kandang ternak’ menteri-menteri yang melampau,” katanya ketika sidang media selepas perasmian Konvensyen PERTIWI: Mempertahankan Wilayah Islam Mendepani Cabaran Dakwah Islam Era Malaysia Baharu hari ini.

Untuk rekod, selepas video wawancara Waytha Moorthy dalam sebuah video berdurasi dua minit 39 saat di Belanda kembali tular di media sosial beliau berhadapan dengan kecaman pelbagai pihak termasuk petisyen diwujudkan bagi mendesaknya untuk meletakkan jawatan.

Beliau dalam masa yang sama juga dikecam kerana mula-mula bersuara tentang cadangan Pakatan Harapan untuk meratfikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Namun setelah pelbagai pihak yang membantahnya, termasuklah parti pembangkang UMNO dan PasĀ  kerana disifatkan tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan, semalam Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan ratifikasiĀ  tersebut.

Mengulas perkembangan terbaharu kerajaan itu, Abdullah Zaik berkata, agenda PH perlu dikaji semula agar dasar yang dilaksanakan pada masa akan datang tidak lagi menimbulkan keresahan.

“Apa yang kita mahu keseluruhan agenda PH itu dilihat semula pada masa akan datang agar tidak membawwa ancaman kebimbangan dan kerisauan.

“Kita harap mereka faham perkara ini dan kembali kepada perlembagaan dan landasan yang betul itu sahaja dapat membawa ngeara kita selamat,” tegas Abdullah Zaik.

Dalam pada itu beliau turut memuji perhatian yang diberikan oleh Melayu Islam semenjak isu ICERD ini sehingga menyatukan kaum itu.

Setelah ICERD menjadi kontreversi bantahan terhadapnya disuarakan menerusi himpunan yang diadakan oleh Pas dan mendapat sambutan oleh UMNO selain beberapa laporan polis yang dibuat.-MalaysiaGazette