Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, umat Islam di negara ini tetap perlu bimbang dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, selain Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD), ada satu lagi Konvensyen Antarabangsa mengenai Hak Politik dan Sivil atau ICCPR yang perlu ditolak.

Menurut beliau, ICCPR adalah antara konvensyen yang tidak wajar diratifikasi kerana mempunyai bahagian yang bertentangan dengan sistem perundangan dan kedaulatan negara.

“Perkara 18 Konvensyen ini yang dibaca bersama Perkara 18 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 sebagai contoh, menggariskan bahawa negara – negara yang menyertai dan mengesahkannya haruslah mengangkat hak kebebasan untuk beragama. Hak-hak ini termasuklah hak untuk murtad, menukar agama tanpa sekatan termasuklah untuk menjadi atheist.

“CCPR juga akan membolehkan ajaran-ajaran sesat dan menyimpang daripada orientasi Ahli Sunnah wal Jamaah yang diamalkan di negara ini seperti Syiah, Qadiani dan lain-lain dijamin dan diberikan hak untuk diamal dan disebarkan tanpa sekatan dan kawalan.” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru katanya, Pemuda UMNO dengan tegas mendesak agar jaminan kerajaan bukan sahaja untuk tidak meratifikasi ICERD tetapi konvensyen-konvensyen antarabangsa yang lain khususnya ICCPR.

Beliau berkata, atas desakan kuat daripada rakyat, akhirnya kerajaan akur agar ICERD tidak diratifikasikan kerana jelas membelakangi kontrak sosial dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Sejak awal Pemuda UMNO menegaskan, tiada keperluan untuk kerajaan mencetuskan suasana tegang dalam kalangan rakyat apabila terus angkuh mahu meratifikasi konvensyen antarabangsa yang jelas beberapa peruntukannya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Bagaimanapun Pemuda UMNO tetap mendesak agar kerajaan memberikan jaminan untuk lebih berhati-hati sekiranya wujud sebarang desakan lain di masa hadapan untuk meratifikasi lima lagi Konvensyen Antarabangsa di bawah instrumen Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang perlu diperhalusi dan melalui proses mendapatkan pandangan awam,” katanya lagi. -MalaysiaGazette