Orang awam memenuhi kawasan tapak kuil dan mengakibatkan kesesakan lalu lintas susulan daripada insiden rusuhan yang berlaku di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 26 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) menggesa pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba menghalang pihak media daripada menjalankan tugas dalam insiden di kuil Seafield awal pagi
tadi.

Presiden NUJ, Mohd Taufek Razak berkata, ia bukan kebebasan media yang ingin diamalkan oleh kerajaan ketika ini.

Tegasnya, media harus dibenarkan melaporkan apa sahaja dengan rasa selamat dan tanpa takut serta mendapat perlindungan sewajarnya daripada semua pihak termasuk pihak berkuasa.

Dalam kejadian yang berlaku awal pagi tadi, penyokong bertindak merampas kad memori kamera milik jurukamera Malay Mail, selain dibaling batu manakala beberapa wartawan dimaki.

NUJ mengecam tindakan mengasari secara fizikal dan bukan fizikal ketika bertugas menyampaikan maklumat kepada orang ramai.

“NUJ mengingatkan orang ramai bahawa pihak media mempunyai tanggungjawab untuk liputan dan melaporkan segala yang berlaku di lapangan demi kepentingan.

“Kawalan keselamatan oleh pihak berkuasa dan orang ramai perlu ditingkatkan dan sepatutnya diberikan kepada pengamal media yang sedang bertugas,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sehubungan itu, NUJ juga meminta pengamal media yang menjadi mangsa untuk membuat laporan polis supaya
mereka yang menghalang tugas dibawa ke muka pengadilan.

NUJ mengecam kawalan keselamatan yang lemah yang sepatutnya diberikan kepada pengamal media yang sedang bertugas.

Kesatuan itu berharap kejadian ke atas pengamal media yang dikasari tidak berulang dalam beberapa hari yang akan datang selain akan ada satu sistem keselamatan yang tersusun untuk membolehkan pengamal media menjalankan tugas mereka dengan selamat. – MalaysiaGazette