Datuk A. Kadir Jasin
A. Kadir Jasin

KUALA LUMPUR – Datuk A. Kadir Jasin menegur Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), P. Waytha Moorthy dan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik supaya mendengar nasihat Perdana Menteri dan berhati-hati dalam mengeluarkan sesuatu ulasan.

Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri itu berkata, walaupun beliau menyebut hanya dua nama sahaja, itu tidak bermakna menteri-menteri lain sudah berjaya.

“Cuma kali ini bukan giliran anda.

“Anggaplah saya guru pelawat tua yang duduk di belakang kelas memerhatikan tindak-tanduk dan kelakuan mereka,” katanya dalam laman blog beliau, The Scribe A Kadir Jasin, hari ini.

Menurut Kadir, tindak-tanduk Waytha dalam peristiwa keganasan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya tidak membantu mengukuhkan perpaduan negara dan integrasi nasional.

“Perdana Menteri sudah menasihati beliau. Tapi Perdana Menteri kita ini baik hati dan kalau beliau marah pun ada orang tak sedar. Jadi Waytha Moorthy yang belum lama kenal beliau janganlah “gung-ho” dan selesa sangat dengan kedudukan beliau,” katanya sambil mengingatkan Waytha bahawa beliau bukan dipilih oleh rakyat jelata.

“Anda Senator lantikan Yang di-Pertuan Agong dan diangkat menjadi menteri oleh Dr Mahathir,” katanya.

P. Waytha Moorthy
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Senator P. Waytha Moorthy

Justeru, wartawan veteran itu meminta menteri tersebut jangan memalukan Yang Di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri, Tun. Dr. Mahathir Mohamad dan sekiranya tidak berpuas hati, Waytha boleh membuat ulasan dalam blog beliau.

Selain Waytha, Kadir turut menegur Maszlee untuk mengembalikan semula tujuan asal penubuhan sekolah kebangsaan rendah dan menengah sebagai sekolah perpaduan untuk semua bangsa dan agama.

“Beliau pun baru saja “dikuliahkan” oleh Perdana Menteri. Saya juga bercakap dengannya melalui telefon,” jelasnya.

MGF15112018_MASZLEE DIALOG INDUSTRI10
Maszlee Malik

Kadir berkata, beliau bersetuju dengan Perdana Menteri bahawa negara ini sudah ada banyak sekolah agama, iaitu sekolah agama kerajaan, sekolah agama negeri, sekolah agama swasta, sekolah pondok dan tahfiz yang menyebabkan tiada keperluan untuk melaksanakan “sekolahagamakan” sekolah kebangsaan.

“Kembalikanlah sekolah kebangsaan – rendah dan menengah – kepada tujuan asalnya, iaitu sebagai sekolah perpaduan untuk semua bangsa dan agama.

“Takkan menteri yang cerdik macam Maszlee tak tahu bahawa banyak ibu bapa bukan Melayu tidak lagi menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan kerana sekolah kebangsaan sudah jadi macam sekolah agama,” katanya.

Menurutnya, kini makin banyak ibu bapa Melayu menghantar anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan Cina kerana mahu anak-anak mereka lebih berjaya. – MalaysiaGazette