maszlee
Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen pembangkang yang ingin memasuki sekolah kerajaan perlu mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan. 

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, halangan tidak akan dibuat sekiranya permohonan diajukan terlebih dahulu kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sebelum membuat lawatan atau mengadakan program.

Antara syarat yang perlu dipatuhi adalah larangan berkempen dan membawa bendera parti, tambah beliau. 

“Mereka kena sebutlah, mereka nak buat agihan sebagainya.

“Mereka tidak boleh kempen politik, bawa bendera itu lebih kepada menjalankan tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen.

Terdahulu beliau memaklumkan bahawa Datuk Seri Ikmal Hisham Abd Aziz (BN-Tanah Merah) membuat permohonan membuat lawatan ke sebuah sekolah di Kelantan.

Sebelum ini Maszlee sekali lagi mendapat perhatian apabila berkata, ahli Parlimen pembangkang dilarang untuk memasuki sekolah milik kerajaan. 

Namun kemudian Maszlee yang juga ahli Parlimen Simpang Renggam menafikan beliau mengeluarkan kenyataan itu. – MalaysiaGazette