Azmin Ali
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. foto AFFAN FAUZI, 01 DISEMBER 2018
SERDANG – Industri pertanian negara boleh dipertingkatkan sehingga menembusi pasaran antarabangsa dengan menggunakan teknologi baharu yang ada, kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Menurut Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu, beliau akan mengadakan perbincangan dengan kementeriannya serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagaimana kerajaan dapat memberi sokongan kepada peladang, petani, penternak dan nelayan untuk mempertingkatkan produktiviti mereka.
“Ini sudah tentulah dengan penggunaan teknologi baharu dan juga bantuan modal bagi mereka memperluaskan lagi sektor pertanian di kawasan masing-masing,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu beliau melawat Pameran Pertanian Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2018.
Katanya, pemantauannya selama lebih empat jam ke setiap sektor industri yang yang dipamerkan pada pameran itu sejak 22 November lalu membuktikan sektor pertanian serta produk Malaysia boleh menembusi pasaran dunia.
“Saya cukup yakin bahawa MAHA ini telah dapat membuka ruang dan peluang kepada peladang, penternak, nelayan dan petani untuk mempromosikan produk pertanian mereka.
“Kita lihat hasil pertanian yang dikeluarkan juga cukup berkualiti dan dapat  menembusi pasaran antarabangsa dari segi kualiti pembungkusan dan kualiti produk makanan itu sendiri.
“Maka saya pecaya dengan sokongan lebih besar dari kerajaan dan industri pertanian, kita yakin sektor pertanian akan menyumbang kepada ekonomi dan Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.
Malah beliau juga menjangkakan jumlah pengunjung ke MAHA yang akan tamat esok akan mencecah 3.2 juta orang memandang sehingga semalam seramai 2 juta orang telah mengunjungi pameran pertanian mega itu.- MalaysiaGazete