Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media selepas perjumpaan khas bersama Senator Barisan Nasional (BN) di Pejabat Barisan Nasional (BN), Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 02 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) menghormati apa saja keputusan yang dibuat oleh MCA, sama ada mahu keluar dari gabungan itu atau sebaliknya.

Namun, Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sehingga kini tidak ada sebarang keputusan yang telah disampaikan secara rasmi kepada ibupejabat BN mengenai usaha mereka hendak keluar dari BN.

“Sebagaimana diketahui BN mempunyai lima parti teras ketika ini, dan kita tentunya menghormati sebarang keputusan yang dibuat oleh parti-parti politik teras yang sedia ada.

“Kita juga mengharapkan apa saja keputusan mesti dimaklumkan secara rasmi kepada BN untuk tindakan politik,” katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan khas bersama Senator BN di Pejabat BN di Pusat dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, beliau telah mengadakan perbincangan dengan pemegang jawatan utama dalam BN dan kepimpinan utama MCA.

Jelas beliau, dalam perbincangan itu tentunya beliau telah memberi kepercayaan kepada MCA sebagai parti berteraskan kepada dokongan orang Cina untuk terus bergerak sebagai sebuah parti politik.

“Tentunya mereka mempunyai kaedah tersendiri untuk mengamit semula sokongan pengundi Cina kepada parti mereka.

“Kita yakin apa yang dihasratkan bagi mereka menstrukturkan semula MCA adalah untuk memperkukuhkan parti berkenaan dan kami yakin beberapa perubahan sedang dilakukan oleh pucuk pimpinan MCA yang baharu.

“Jika ini dapat dilakukan oleh mereka, maka sokongan dan dokongan orang Cina akan kembali kepada mereka,” katanya.
Namun, katanya, jika berlaku sebaliknya, BN ada beberapa kaedah yang lain dan beliau tidak akan memaklumkan kepada umum mengenai apa langkah berkenaan.

“Yang jelas, kita tahu tidak seratus peratus orang Cina mendokong parti yang menjadi kerajaan sekarang ini dan mereka tentu mengharapkan sebuah parti alternatif yang lebih majmuk bentuknya dan mendapat kerjasama dengan parti komponen BN,” katanya.

Mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantai dan PRK Parlimen Cameron Highlands, Ahmad Zahid menyatakan, BN sentiasa bersiap siaga apabila sampai masanya. – MalaysiaGazette