Keadaan sebuah kereta yang terbalik susulan daripada insiden rusuhan yang berlaku di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 26 NOVEMBER 2018.

SUBANG JAYA – Kabinet bersetuju membenarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan beberapa akta yang sedang dalam kajian untuk dimansuhkan sebelum ini dalam mengendalikan kes rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights, di sini, Isnin lalu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata mesyuarat Kabinet Jumaat lalu, memutuskan untuk menarik balik moratorium yang diadakan sebelum ini berdasarkan keadaan semasa dan apa yang berlaku berkaitan kes kuil ini.

Antara akta tersebut, katanya, adalah Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2017 (POCA), Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA), Akta Hasutan 1948 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas (SOSMA 2012.

“Polis dibenarkan mengguna pakai akta berkenaan walaupun ia sedang dikaji dengan lebih teliti,” katanya pada sidang media selepas melawat anggota polis yang bertugas mengawal keselamatan di tapak kuil berkenaan di sini.

Muhyiddin, yang tiba pada jam 3.40 petang, turut menemui pihak pengurusan kuil bagi membincangkan isu kuil berkenaan.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Muhyiddin berkata langkah itu akan memberikan kuasa penuh kepada pasukan keselamatan sebagai panduan untuk bertindak dalam menjaga keamanan dan keselamatan awam supaya terkawal.

Sementara itu, beliau berkata setakat ini polis telah menahan seramai 58 orang yang terdiri daripada 18 individu bangsa India, dua Cina dan 38 Melayu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Lebih 5,000 laporan diterima di seluruh negara dan semuanya diambil perhatian oleh pihak polis. Ada beberapa lagi individu yang disyaki akan ditahan,” katanya.

Pihak polis masih menyiasat mengenai suspek yang telah menyebabkan kecederaan parah kepada anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, dengan ada pihak yang tampil bagi membantu siasatan.

Insiden kekecohan yang berlaku pada awal pagi Isnin dan Selasa berikutan perbalahan mengenai perpindahan kuil itu ke tapak baharu telah menyebabkan kecederaan parah kepada Muhammad Adib yang kini dirawat di Institut Jantung Negara.

Kejadian itu juga menyebabkan kecederaan kepada beberapa anggota keselamatan dan orang awam selain kemusnahan beberapa buah kenderaan dan premis perniagaan serta gangguan kepada ketenteraman awam.
— BERNAMA