Kapten Izham Ismail

KUALA LUMPUR – Meskipun pelan pemulihan Malaysia Airlines Bhd (MAB) agak sedikit diperkatakan dan diuar-uarkan namun sebenarnya sejumlah besar kemajuan telah dicapai dalam operasi perniagaannya, seiring dengan rancangan itu yang bertujuan mengekalkan keberuntungan dan memperkasakan semula syarikat penerbangan utama negara itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kapten Izham Ismail berkata, penambahbaikan dari segi kos keseluruhan, produktiviti, sistem teknologi maklumat dan pengalaman pelanggan, adalah antara pencapaian yang direkodkan mengikut Pelan Pemulihan Malaysia Airlines (MRP) selama lima tahun.

Dalam temu bual bersama Bernama, beliau berkata beberapa pelan telah ditetapkan untuk menangani prestasi syarikat ke arah masa depan dan ia telah membuahkan hasil positif pada separuh pertama tahun ini.

MAB melakar prestasi lebih kukuh tahun ini berbanding tempoh yang sama 2017, selain tumpuan utama pada tahun kewangan 2018 adalah termasuk memacu perolehan, katanya.

“Ini akan disokong oleh peningkatan dalam pengalaman pelanggan, kualiti produk dan kecemerlangan operasi yang berterusan di samping mengekalkan kos keseluruhan yang produktif dan kompetitif,” katanya.

Menurut Izham, kos keseluruhan MAB bertambah baik secara ketara sekali gus membawanya ke tahap seiring dengan syarikat penerbangan rangkaian setaranya.

Setakat hari ini, MAB adalah antara yang mencatatkan kos keseluruhan terendah dalam kalangan syarikat penerbangan rangkaian setaranya berasaskan Kos Tempat Duduk Tersedia Bagi Setiap Kilometer (CASK).

Syarikat itu juga merealisasikan keuntungan dalam produktiviti dengan tenaga kerja yang bersaiz lebih kompetitif, serta dikukuhkan lagi menerusi komitmen ke arah pembangunan bakat berterusan.

“Kumpulan bakat tempatan yang lebih kukuh kini telah diwujudkan,” katanya.

Mengenai sistem teknologi maklumat MAB yang menjadi komponen penting bagi operasi keseluruhan syarikat penerbangan, Izham berkata baik pulih keseluruhan kini telah siap dilaksanakan.

Beliau berkata Sistem Perkhidmatan Penumpang baharu dan peralihan kepada pusat data berasaskan awan telah mempertingkat kebolehpercayaan dan keselamatan siber serta memperkukuh kecekapan dan tempoh yang lebih baik kepada pasaran.

Izham berkata, pengalaman pelanggan turut dipertingkat dengan metrik dipacu pasaran berasaskan kaji selidik oleh MAB dan kaedah pengurusan ‘Net Promoter’ – yang mengukur pengalaman pelanggan dan membuat jangkaan pertumbuhan perniagaan – menunjukkan keuntungan positif ketara bagi dua tahun kewangan terakhir.

Di peringkat operasi, Izham berkata, rantaian bekalan dalam kejuruteraan diperketatkan dengan ketara yang membantu prestasi semasa syarikat penerbangan itu, walaupun ia masih terkesan dengan faktor luaran yang di luar kawalannya.

“Sejak penubuhan syarikat baharu (MAB, yang mengambil alih operasi, aset dan liabiliti Malaysian Airline System Bhd atau MAS) pada 2015, kami menunjukkan kemajuan dan merekodkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul dua angka (21 peratus) sejak tiga tahun lepas.

“Ia adalah kemajuan yang menjurus kepada keuntungan,” jelasnya.

MAB berjaya merekodkan “prestasi tahun ke tahun yang kukuh” pada suku kedua 2018, dengan peningkatan hasil yang marjinal, sementara Perolehan setiap Kilometer bagi Tempat Duduk Tersedia (RASK) kekal kukuh dengan pertumbuhan dua peratus tahun ke tahun.

Bagi masa hadapan, Izham berkata, MAB akan terus memberi tumpuan kepada pelanggan sambil memastikan ia menyediakan jadual yang kukuh dan perkhidmatan yang hebat kepada pelanggan.

Syarikat penerbangan itu juga menyasarkan untuk membina rangkaian Asia Pasifik yang pelbagai dengan struktur dan operasi kumpulan yang dipermudahkan bagi memastikan konsistensi serta menghapuskan kerumitan dalam penyampaian perkhidmatan serta meneruskan strategi pertumbuhan secara beransur-ansur dan progresif di pasaran, katanya.

Mengulas mengenai perancangan Khazanah Nasional Bhd untuk menyenaraikan semula syarikat penerbangan itu sebagai sebahagian pelan pemulihan kira-kira mulai sekarang hingga 2020, katanya: “perancangan itu adalah demi menyenaraikan semula Malaysia Airlines”.

“Kami sedang bekerja keras untuk menstabilkan syarikat dan mengembalikannya sebagai syarikat yang untung sebelum sebarang pelan tawaran awam permulaan boleh dipertimbangkan,” katanya.

Khazanah memegang 100 peratus kepentingan ekuiti dalam MAB.

Pada 2014, dana pelaburan strategik kerajaan itu melabur RM6 bilion bagi menyokong pelan pemulihan lima tahun syarikat penerbangan berkenaan, untuk MAB kembali mencatat keuntungan menjelang hujung 2017 dan menyenaraikan semula syarikat berkenaan menjelang 2018 atau 2019.

MAS dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada 31 Dis, 2014. – MalaysiaGazette