KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan menjalankan siasatan terhadap dua kementerian iaitu Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berikutan mendapat ‘teguran punitif’ dari Laporan Audit Negara Siri Kedua.

Pendedahan itu dilakukan oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad bagaimanapun berkata, teguran punitif itu perlu di siasat dan dibuktikan terlebih dahulu.

“Apa yang saya maksudkan dengan terguran punitif itu bukan bermaksud kesalahan itu telah dibuktikan tapi perlu ada siasatan lanjut oleh pihak-pihak berkaitan.

“Seandainya melibatkan kecuaian penjawat awam maka siasatan akan dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.

“Jika melibatkan pihak ketiga seperti kontroktar, konsultan ia juga akan disiasat oleh CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia) serta pihak-pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee di Parlimen, hari ini.

Ketika diminta mengulas dengan terperinci tentang ‘kecuaian’yang dimaksudkan itu, beliau enggan mengulas dengan lebih lanjut.

“Biar siasatan dijalankan terlebih dahulu. Teguran punitif itu berpotensi untuk siasatan lanjut. Perlu di lakukan secara terperinci terlebih dahulu,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut Dr Ronald, PAC akan menyiasat tentang isu yang telah diperkatakan dalam Laporan Audit Negara Siri Kedua terlebih dahulu.

“Kita akan siasat dan melakukan perbincangan dengan beberapa kementerian yang telah disebut itu terutamanya tentang teguran-teguran.

“Ada antara isu berkaitan pembinaan dan sebagainya. Kita akan maklumkan keputusan siasatan kelak,” katanya. –MalaysiaGazette