Annuar Musa
Annuar Musa

KUALA LUMPUR – MCA disaran supaya lebih bermuasabah diri sebelum membuat apa-apa keputusan bersendirian tanpa mengadakan perbincangan sebulat suara dengan komponen lain dalam Barisan Nasional (BN).

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, adalah lebih baik seandainya jika MCA membuat keputusan untuk meninggalkan BN dan bukannya mencadangkan supaya BN dibubarkan.

“Ini tidak betul, dengan membubarkan BN, ke mana hala tuju kita? Mana kita hendak pergi? Pembubaran bukan satu jalan penyelesaian yang terbaik, adakah kita boleh berdiri bersendirian.

“MCA pun bukan keluar dari BN sebaliknya cadangkan pembubaran. Kalau keluar itu lebih senang untuk kita berbincang dengan empat parti yang tinggal. Patutnya perwakilan MCA bincang keluar komponen.

“Pada saya, cadangan pembubaran ini sebenarnya langsung tidak membantu, kita tidak akan menang pilihan raya hanya kerana kita dibubarkan sebaliknya adalah soal bagaimana kita hendak bergerak ke depan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh (BN) berkata, dengan pembubaran BN juga tidak akan memberi peluang untuk komponen menang pilihan raya sekiranya itu berlaku.

“Sebaliknya kita perlu fikir apakah cara terbaik untuk menambahbaik dan menguatkan barisan komponen kita untuk menang besar kelak, bukan dengan cara bubar atau berpisah seperti ini.

“Memang benar setiap perwakilan ini mempunyai kebebasan untuk mengeluarkan padangan dan kita hormat tentang itu. Tetapi pembubaran bukan sesuatu yang penting sebaliknya komponen ini terbina kerana mahu menang PRU. Itu penting, dengan keluar ini tidak buktikan apa-apa.

“Yang perlu menjadi fokus adalah bukan tuding jari antara satu sama lain sebaliknya menguatkan diri dan parti, jangan duduk dengan cara lama. Kita patut kaji apakah yang tidak disukai rakyat serta betulkan perkara itu.

“Yang penting, parti kena kembali ke landasan asal agar diterima kembali, itu yang penting,” tegasnya.

Semalam, MCA mencadangkan dalam perhimpunan agungnya supaya BN dibubarkan yang menyebabkan rata-rata komponen terkejut dan tidak senang. –MalaysiaGazette

MCA lulus resolusi bubar BN – Presiden MCA

MCA perlu fikir masak-masak, jangan terburu-buru bubar BN – Saravanan