NOrza
Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Zulkiflee Abbas Abdul Hamid (kiri) bersama Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (kanan) dan pemain-pemain badminton negara menaiki bas yang ditaja oleh Bank Rakyat kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 04 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR- Pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dijangka memulakan latihan semula tidak lama lagi selepas menjalani rawatan kanser hidung.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia, Datuk Seri Norza Zakaria berkata, keadaan pemain badminton tersebut sudah semakin baik dan telah mula melakukan latihan ringan.

“Saya ada bercakap dengan beliau dua, tiga hari lepas, katanya keadaan semakin baik dan beliau sudah menjalani latihan ringan dan ada menjenguk pemain-pemain lain yang sedang berlatih.

“Setakat ini sahaja perkembangan beliau dan kita biarkan beliau menjalani proses pemulihan mengikut nasihat doktor serta kekuatan beliau sendiri.

“Secara peribadi, saya merasakan apabila kita berhadapan dengan pusingan kelayakan Olimpik (Tokyo 2020), beliau telah pulih,” katanya semasa sidang media selepas majlis penerimaan sumbangan bas daripada Bank Rakyat di sini hari ini.

Baru-baru ini Chong Wei berkongsi berita gembira dengan peminat-peminatnya bahawa beliau telah selesai menjalani rawatan kimoterapi bagi merawat kanser yang dihadapi beliau.

Beliau juga menyatakan keazaman untuk menunaikan impian memenangi pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik pada 2020 nanti.

Dalam perkembangan berbeza, Norza berkata, sumbangan bas oleh Bank Rakyat mampu meringankan beban kewangan BAM sebanyak RM100,000 setahun, selain memudahkan para atlet bergerak dari Sekolah Sukan Bukit Jalil ke Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara setiap hari.

Sumbangan bernilai kira-kira RM240,000 adalah untuk tempoh selama dua tahun.-MalaysiaGazette