Amirudin Shari
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor dijangka menanggung kos lebih RM200 juta tahun depan sekiranya program air percuma terus diberikan kepada semua golongan, justeru pelaksanaannya dilihat tidak mampan, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Beliau berkata kos yang ditanggung oleh kerajaan negeri bagi melaksanakan program itu meningkat dari tahun ke tahun sejak dilaksanakan pada Jun 2008.

Sejak dilaksanakan hingga Oktober lepas, kerajaan negeri telah membelanjakan RM1.6 bilion untuk program itu, katanya ketika menjawab soalan Lee Kee Hiong (PH-Kuala Kubu Bharu) pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.

“Bagi 2008, kerajaan negeri membelanjakan RM68 juta, sebanyak RM131 juta dibelanjakan pada 2009, bagi 2014 sebanyak RM167 juta, sebanyak RM179 juta (2016) dan pada 2017 sebanyak RM187 juta.

“Jika ia diteruskan pada 2019 kosnya akan melebihi RM200 juta, iaitu kira-kira 10 peratus daripada belanjawan kerajaan negeri dan ia tidak sustainable,” katanya.

Lee ingin tahu mengenai kos pemberian air percuma yang dilaksanakan di Selangor.

Pembentangan Belanjawan Selangor 2019 pada 23 Nov lepas memperuntukkan program air percuma hanya diberi kepada golongan B40 bagi memenuhi matlamat asal program untuk meringankan beban kehidupan rakyat khususnya golongan itu dan kadar pemberiannya juga dinaikkan daripada 20 meter padu kepada 25 meter padu sebulan.

Amirudin ketika membentangkan belanjawan itu berkata, peningkatan jumlah penduduk di Selangor menjadi punca skim pemberian air percuma hanya diberikan kepada golongan B40.

— BERNAMA