Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Selepas enam bulan Pakatan Harapan membariskan anggot Kabinetnya, MCA memberikan penilaian bahawa Lim Guan Eng merupakan Menteri Kewangan paling teruk dalam sejarah negara.

Lantaran itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad diminta segera memecat Guan Eng dan menggantikan individu lain yang lebih berkelayakan.

Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Lau Chin Kok berkata, Guan Eng terlalu ghairah untuk membalas dendam politik terhadap pemerintahan Barisan Nasional, sehingga tanpa ragu-ragu mempertaruhkan kedudukan ekonomi negara dan kebahagiaan rakyat.

“Lim Guan Eng adalah Menteri Kewangan yang paling teruk dan tidak berkelayakan dalam sejarah Malaysia. Pemikiran politiknya melampau, dendam kesumat dan iri hati terlalu kuat untuk dikawal. Dia berfikiran sempit dan boleh mengorbankan ekonomi negara dan kebahagiaan rakyat pada bila-bila masa, hanya untuk membalas dendam terhadap bekas pemerintahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, sehingga kini, Guan Eng tidak mempunyai sebarang dasar praktikal untuk membetulkan keadaan ekonomi.

Chin Kok mendakwa Guan Eng telah memulakan rancangan balas dendam politiknya sejak menjadi Menteri Kewangan dengan membesar-besarkan angka hutang negara, memfitnah Barisan Nasional dengan mendakwa menyalahguna pembayaran balik cukai sebanyak RM19.2 bilion.

Beliau juga mengancam untuk menentang jika yuran pengajian Tunku Abdul Rahman University College (TAR UC) dinaikkan berikutan pemberhentian geran kerajaan bagi perbelanjaan operasi.

Tidak cukup dengan itu, Guan Eng memaksa MCA untuk melepaskan TAR UC dengan menggunakan peruntukan kerajaan RM6 juta kepada tiga kolej universiti swasta bukan keuntungan sebagai umpan.

“Sekarang segala-galanya telah didedahkan dan beliau telah menjaringkan gol sendiri. Untuk mengalihkan perhatian, beliau telah melatih senjatanya di MCA, mempolitikkan pendidikan dan mengorbankan minat pelajar untuk menjadi lebih baik,” ujarnya.

Terbaharu,Ketua Audit Negara mengeluarkan laporan mengenai pembayaran balik cukai, yang mengesahkan Guan Eng sebenarnya pembohong.

“Barisan Nasional secara berulang kali dituduh ”mencuri” cukai bayaran balik sebanyak RM19.2 bilion, tetapi laporan itu menunjukkan sebaliknya.

“Pakatan Harapan telah membuat kesilapan dan gagal untuk memeriksa fakta bahawa ” jumlah yang hilang ” telah dikembalikan. Sementara Lim Guan Eng pula terus menipu dan mengelirukan rakyat dengan menyalahkan bekas pemerintahan Barisan Nasional,” dakwanya lagi.

Chin Kok berkata, sejak dipilih menerajui Kementerian Kewangan, Guan Eng tidak pernah memperkenalkan sebarang dasar yang boleh menstabilkan ekonomi negara.

Sebaliknya, beliau menggunakan jalan pintas menjual aset negara dan mencipta ilusi bahawa negara ini berkembang maju di bawah pimpinan Pakatan Harapan.

Tanpa sebarang polisi ekonomi untuk menstabilkan pasaran dan KLCI (bursa), Guan Eng berharap dapat menjual aset negara untuk menghidupkan semula ekonomi negara walaupun kerajaan tidak memotong perbelanjaannya atau menaikkan sumber pendapatannya.

“Ini semata-mata untuk mencipta ilusi negara ini makmur,” katanya.

Selepas menjual ekuiti Petronas dan CIMB, kerajaan Pakatan Harapan kini menubuhkan amanah pelaburan untuk menjual lebih banyak aset kerajaan.

Bermula dengan penjualan 30 peratus ekuiti lapangan terbang domestik, dijangka penjualan sama membabitkan hospital kerajaan, stesen kereta api dan lain-lain tanah.

“Menjual aset kerajaan adalah cara Lim Guan Eng untuk menstabilkan pasaran dan KLCI. Selain menggunakan jalan pintas dan memutarbelitkan fakta, Guan Eng tidak mempunyai cara lain untuk mentadbir negara dan memperbaiki ekonomi,” tambahnya.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Hidup mesti berlandaskan perlembagaan ….baru boleh aman..makmur sejahtera…cina MCA lain cina DAP lain…masing masing ada agenda sendiri…jgn main tuduh aje…dulu your father as Mahthir Racis sekarang ludah muka sendiri..syabas MCA.

Comments are closed.