Dua kali ketinggalan tidak menghalang Malaysia mara ke final Piala AFF Suzuki 2018 selepas terikat 2-2 dengan Thailand di Stadium Rajamangala di sini malam ini.
Dua kali ketinggalan tidak menghalang Malaysia mara ke final Piala AFF Suzuki 2018 selepas terikat 2-2 dengan Thailand di Stadium Rajamangala di sini malam ini. - Foto Facebook Rasmi FAM

BANGKOK – Dua kali ketinggalan tidak menghalang Malaysia mara ke final Piala AFF Suzuki 2018 selepas terikat 2-2 dengan Thailand di Stadium Rajamangala di sini malam ini.

Harimau Malaya layak ke perlawanan akhir buat kali keempat menerusi peraturan gol di tempat lawan dengan agregat 2-2 selepas seri 0-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu lalu.

Kemenangan anak buah Tan Cheng Hoe bagaimanapun penuh dramatik apabila tuan rumah mendapat sepakan penalti masa kecederaan minit ke-94 namun Adisak gagal menyempurnakannya apabila bola melambung tinggi melewati palang ketika Farizal Marlias sudah tertewas.

Sementara itu, Thailand mendapat gol pertama pertama hasil jaringan sendiri menerusi pemain pertahanan Irfan Zakaria.

Namun Malaysia menenggelamkan sorakan 40,000 penyokong tuan rumah apabila memperoleh gol penyamaan menerusi sepak kencang Syahmi Safari dari luar kotak penalti pada minit ke-28.

Thailand kembali mendahului menerusi gol kedua jaringan Pansa pada minit ke-63 sebelum Norshahrul Idlan Talaha menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-71.

Malaysia akan bertemu sama ada Vietnam atau Filipina pada perlawanan akhir yang berlangsung pada 11 dan 15 Disember ini. – MalaysiaGazette