Mohamad Fuzi Harun

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia sedang giat mengesan termasuk akan mendapatkan kerjasama daripada pihak berkuasa luar negara dan Interpol bagi membantu mengesan ahli perniagaan Low Taek Jho (Jho Low) bersama empat individu lain.

Empat yang lain itu ialah Tan Kim Loong (Eric), Pengarah Pembangunan Perniagaan 1MDB, Tang Keng Chee (Casey); peguam, Loo Ai Swan (Jasmine) dan Pengarah Eksekutif Kewangan 1MDB, Geh Choh Heng (Terence).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, walaupun kesemuanya sudah melarikan diri ke luar Malaysia tetapi waran tangkap telah diperoleh dari mahkamah.

Jika mereka dikenal pasti berada di mana-mana negara, polis melalui Jabatan Peguam Negara Malaysia akan mengambil tindakan untuk memohon ekstradisi bagi membolehkan mereka dibawa balik ke negara ini.

Menurutnya, polis telah memfailkan pertuduhan jenayah di bawah Kanun Keseksaan serta Akta Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) terhadap lima individu yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kelima-lima mereka menghadapi sebanyak 13 pertuduhan yang melibatkan kerugian wang berjumlah AS$1.17 bilion (RM4.2 bilion).

Menurut beliau, pertuduhan itu adalah susulan hasil siasatan polis yang dikemukakan kepada Peguam Negara pada 3 Disember lalu dan setelah meneliti keterangan kes, Peguam Negara telah membuat keputusan agar polis memfailkan pertuduhan jenayah tersebut.

Fuzi berkata, Jho Low dikenakan lima pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 berhubung penerimaan wang berjumlah AS$1.03 bilion ke atas akaun bank Good Star Limited di RBS Coutts Bank AG, Zurich, Switzerland antara 30 September 2009 hingga 25 Oktober 2011.

Manakala Jho Low dan Kim Loong dituduh bersama-sama dengan dua lagi pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 melibatkan kerugian berjumlah AS$126 juta yang diterima mereka melalui akaun RBS Coutts Limited, Singapura, milik ACME Time Limited yang mana transaksi ini berkaitan terbitan nota jangka sederhana Islam oleh Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) dalam bulan Mei 2009.

Casey pula menghadapi satu pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan (pecah amanah jenayah oleh agen) berhubung pemindahan wang AS$700 juta ke akaun Good Star Limited milik Jho Low dan dua pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 melibatkan kerugian AS$6.7 juta yang diterima ke dalam akaun syarikat Transnation Limited (Seychelles) di RBS Coutts Bank AG dan syarikat Totality Limited di BSI Bank SA, Switzerland, masing-masing pada 5 Ogos 2009 dan 23 Disember 2010.

Sementara itu, Jasmin dikenakan dua pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 melibatkan kerugian berjumlah AS$6 juta yang diterima dalam akaun Falcon Private Bank AG Zurich, Switzerland milik River Dee International SA (BVI) pada 6 Disember 2012 dan 1 Julai 2014.

Terrence pula dituduh dengan satu pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan (pecah amanah jenayah oleh agen) berhubung pemindahahan wang AS$125 juta ke akaun Good Star Limited milik Jho Low pada 25 Oktober 2011. – MalaysiaGazette