Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub
Datuk Salahuddin Ayub

KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub mendakwa menerima ugutan bunuh daripada individu yang tidak dikenali.

Ugutan itu disedarinya dua hari lalu selepas beliau menerima sekeping nota berserta bangkai lembu yang diletakkan di hadapan kediamannya.

“Saya diberitahu dua hari lepas tentang bangkai lembu telah diletakkan di depan rumah saya di DUN Simpang Jeram, Johor.

“Padanya terdapat sekeping kertas mengugut bunuh saya dan laporan polis telah dibuat.

“Pada awalnya saya lihat ia perkara kecil sahaja tetapi nampaknya polis memandang serius perkara ini kerana ia ugutan ke atas seorang menteri,” beliau dipetik sebagai berkata.

Menurut Salahudin, beberapa pegawai polis telah hadir ke pejabatnya di Kementerian Pertanian hari ini untuk mengambil kenyataan berhubung perkara itu.

Katanya, sehingga kini beliau masih lagi tidak tahu motif ugutan yang diterimanya itu.

“Kita serahkan perkara ini kepada pihak polis untuk membuat siasatan,” katanya menerusi laporan berkenaan. – MalaysiaGazette