Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Harga saham di Bursa Malaysia terus berada pada aliran penurunan untuk ditutup rendah, menjejaki bursa Asia, kata peniaga.

Beliau berkata, antara sebab yang dinyatakan kepada sentimen lemah ialah penahanan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Global syarikat gergasi teknologi China, Huawei berhubung dakwaan melanggar sekatan Amerika Syarikat (AS).

Penahanan itu boleh merenggangkan hubungan China dan AS hanya beberapa hari selepas Presiden Donald Trump dan Presiden Xi Jinping mencapai persetujuan kepada gencatan sementara dalam perang perdagangan mereka untuk memberi kedua-dua pihak lebih banyak masa untuk rundingan.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.93 mata kepada 1,683.34 selepas dibuka rendah 4.92 mata kepada 1,683.35.

Indeks bergerak dalam julat kecil antara 1,683.35 dan 1,686.49 sepanjang hari.

Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 588 berbanding 259, manakala 328 kaunter tidak berubah, 694 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 1.96 bilion unit, bernilai RM1.86 bilion, berbanding 1.75 bilion unit bernilai RM1.52 bilion pada Khamis.

Mengulas mengenai penahanan CFO Huawei, Ketua Dagangan APAC OANDA Stephen Innes berkata berita itu agak penting berikutan kerajaan AS cuba memujuk sekutu untuk berhenti menggunakan peralatan Huawei kerana bimbang mengenai keselamatan.

“Sentimen risiko terus membelenggu Asia, mempunyai kesan yang meluas di pasaran mata wang dan ekuiti global. Kita melihat saham teknologi merosot di rantau ini dan sentimen, pada amnya, kekal lemah.

“Ini, dan ketidaktentuan mengenai perang perdagangan telah menjadi pemacu utama sentimen,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, prospek Bursa Malaysia yang kabur turut termasuk ketidakpastian mengenai keputusan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum untuk mengurangkan pengeluaran minyak, katanya.

Innes berkata sebarang pengurangan yang dilihat positif bagi harga minyak akan meningkatkan sentimen tempatan.

“Bagaimanapun, jika pengurangan tidak mencukupi atau Rusia tidak menyertai dalam langkah pengurangan itu, harga minyak akan jatuh, dan ini akan memberi kesan kepada bursa tempatan,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat dua sen kepada RM9.44, Petronas Chemicals menambah enam sen kepada RM9.27, Public Bank tidak berubah pada RM24.88, bagaimanapun Tenaga merosot 16 sen kepada RM13.76.

Daripada saham aktif, Bumi Armada naik setengah sen kepada 16 sen, Sapura Energy meningkat dua sen kepada 35.5 sen, Hubline dan Sanichi Tecnology, masing-masing tidak berubah pada empat sen dan 17 sen.

Indeks FBM Emas Shariah merosot 70.62 mata kepada 11,615.26, FBM 70 susut 102.01 mata kepada 13,464.03 dan Indeks FBM Ace turun 14.02 mata kepada 4,729.80.

Indeks FBM Emas berkurangan 50.41 mata kepada 11,603.30 dan Indeks FBMT 100 susut 46.02 mata kepada 11,482.92.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan merosot 67.54 mata kepada 6,837.78, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan turun 0.47 mata kepada 169.40 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 6.14 mata kepada 17,451.67.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 1.29 bilion saham bernilai RM1.7 bilion daripada 1.27 bilion saham, bernilai RM1.4 bilion, dicatatkan semalam.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 477.70 juta unit bernilai RM120.55 juta berbanding 306.05 juta unit bernilai RM81.96 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE naik kepada 196.76 juta saham bernilai RM37 juta berbanding 170.32 juta saham bernilai RM36.67 juta.

Barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 125.71 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, barangan perindustrian dan perkhidmatan (447.34 juta), pembinaan (61.79 juta), teknologi (104.21 juta), SPAC (5.11 juta), perkhidmatan kewangan (31.27 juta), hartanah (73.77 juta), perladangan (34.95 juta), REIT (5.64 juta), dana tertutup (0), tenaga (204.54 juta), penjagaan kesihatan (24.67 juta), telekomunikasi dan media (81.24 juta), pengangkutan dan logistik (68.70 juta), dan utiliti (20.18 juta). – MalaysiaGazette