KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila wakil rakyat pembangkang mengasak Yang di-Pertua, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof supaya menarik balik keputusan melarang ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C. Sivarraajh daripada menghadiri sesi yang sedang berlangsung.

Suasana kecoh itu bermula apabila Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mohtar Radin membangkitkan isu tersebut dan meminta speaker supaya menetapkan keputusan yang sebenar tentang kedudukan Sivarraajh.

Mohamad Ariff ketika menjawab soalan Bung Mohtar memberitahu, beliau telah berjumpa dengan Sivarraajh dan meminta supaya perkara itu dirujuk kepada peguam, pada masa yang sama Sivarraajh tidak dibenarkan hadir.

Bung Mohtar yang tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut bertanya lanjut sama ada Mohamad Ariff telah menerima sebarang notis dari Suruhanjaya Pilihan Raya dan perkara yang sama turut dibangkitkan oleh ahli Parlimen Tapah, Datuk M Saravanan.

Datuk Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) bangun dan menarik perhatian mengenai keputusan yang dibuat oleh Mohamad Ariff semalam iaitu ‘menghukum’ Sivarraajh sedangkan kuasa tersebut tidak ada pada beliau.

Katanya, berdasarkan Akta Pilihan Raya, Sivarraajh mempunyai 14 hari untuk membuat rayuan dan selagi tempoh tersebut belum tamat, keputusan mahkamah yang membatalkan kemenangannya masih tidak muktamad.

“Hanya SPR yang mempunyai keputusan muktamad, dan SPR lah yang akan memberi notis kepada speaker Dewan Rakyat,” kata Ismail.

Perkara itu turut disokong oleh ahli Parlimen Pas Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan yang menyebut dengan jelas peruntukan di dalam Akta Pilihan Raya di mana Mahkamah Pilihan Raya perlu membuat satu perakuan dalam tempoh 14 hari selepas tempoh rayuan tamat dan dalam kes Sivarraajh adalah selepas 13 Disember.

“Jika tidak ada rayuan barulah Mahkamah Pilihan Raya membuat perakuan kepada SPR dna SPR kemudian akan memaklumkan kepada speaker Dewan Rakyat,” kata Takiyuddin.

Turut bangun Datuk Wee Ka Siong yang merujuk kes lama melibatkan seorang wakil rakyat bernama Che Kalsom yang diisytiharkan menang kerana kesilapan SPR menulis keputusan.

Che Kalsom terus menjadi wakil rakyat sehinggalah SPR memuktamadkan.

Beliau turut merujuk kepada pengalaman yang dilaluinya sendiri menerusi petisyen pilihan raya dan pandangan Ka Siong turut dipersetujui oleh ahli Parlimen Beluran, Ronald Kiandee yang dengan tenang menjelaskan satu persatu sambil merujuk kepada kes Batu, Pandan dan Permatang Pauh.

Selepas hampir 15 minit berbalah, Mohamad Ariff enggan mendengar malah tidak mahu menarik balik keputusan tidak membenarkan Sivarraajh menyebabkan wakil-wakil BN keluar Dewan Rakyat tanda protes.

Beliau hanya menasihatkan semua ahli Parlimen supaya bertenang dan bersabar sementara keputusan perundangan diperoleh berhubung perkara itu.

“Apa salahnya tunggu sebentar sementara saya buat ruling (perintah) yang komprehensif. Saya memerlukan sedikit masa untuk mengeluarkan perintah. Saya telah bercakap dengan peguam Cameron Highlands dan beliau akan berhubung dengan saya.

“Keputusan saya kekal sehingga saya buat ‘ruling’ Isnin ini. Muktamad.

Ketika menemui wartawan di lobi Parlimen, Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Zahid Hamidi berkata, tindakan protes itu kerana tindakan Mohamad Ariff tidak mengikut perundangan malah seolah-olah ‘berat sebelah.

“Selagi proses rayuan itu tidak dibuat dan tempohnya sehingga 14 hari, Ahli Parlimen Cameron Highlands, Sivarraajh sebenarnya boleh menghadiri Parlimen kerana ianya bertentangan dengan Perkara 50 Perlembagaan Persekutuan.

“Tidak ada kena mengena mengapa Sivarraajh diusir keluar hanya kerana desakan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer. Jika di rujuk Seksyen 36C, keputusan Hakim Polihan Raya adalah muktamad setelah tiada rayuan difailkan dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan,” ujarnya.

Jelas Zahid, beliau merasakan keputusan dan ketegasan oleh Speaker sebenarnya tidak adil dan berat sebelah.

“Kita keluar ramai-ramai kerana Speaker enggan dengar walaupun dalam peruntukan perundangan sudah termaktub Sivaarrajh masih lagi Ahli Parlimen yang sah sehingga pihak speaker diberikan notis pengosongan. Sehingga itu beliau masih boleh hadir sesi Parlimen,” ujarnya. – MalaysiaGazette