Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bercakap pada sidang media berkenaan isu semasa di Kementerian Kewangan, Presint 2, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 25 SEPTEMBER 2018.
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Selain kagum dengan dengan kejayaan Harimau Malaysia layak ke pusingan akhir Piala AFF Suzuki apabila seri dengan seri 2-2 dengan juara bertahan Thailand semalam, Lim Guan Eng menyifatkan peningkatan mendadak eksport bulan Oktober 2018 sebagai satu lagi berita gembira.

Menteri Kewangan itu berkata, eksport bulan Oktober meningkat ke paras tertinggi kepada RM96.4 bilion dengan lebihan dagangan sebanyak RM16.3 bilion membuktikan Malaysia berda di landasan tepat untuk pemulihan ekonomi menerusi Pelan Konsolidasi Fiskal selama tiga tahun.

Menurutnya, apa yang lebih menggembirakan eksport komoditi negara terutamanya minyak sawit dan getah asli yang terjejas akibat kejatuhan harga dan kemerosotan permintaan mencatatkan peningkatan pada Oktober berbanding bulan sebelumnya.

“Walau bagaimanapun, berita baik ini tetap diterima dengan keadaan berwaspada berikutan persekitaran perdagangan dan ekonomi global yang masih lembap walaupun gencatan perang perdagangan selama 90 hari telah diumumkan oleh China dan Amerika Syarikat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu menurut Guan Eng,  Bloomberg pada 28 November 2018 telah meletakkan Malaysia di tangga pertama dalam senarai 20 ekonomi baru muncul di dunia.

Bloomberg menyatakan yang Malaysia berada di tangga teratas kerana negara mempunyai “lebihan akaun semasa negara tersebut serta pertumbuhan dan penilaian ekonomi yang stabil.

Data juga menunjukkan inflasi berada pada paras 0.6 peratus pada Oktober berbanding setahun yang lalu, berbanding hasil bon kerajaan 10-tahun sebanyak lebih kurang 4.17 peratus.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebelum ini memaklumkan pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan dalam sektor pembuatan telah meningkat sebanyak RM35 bilion, atau 250%, kepada RM49 bilion di dalam sembilan bulan pertama 2018, daripada RM14.0 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.

“Apa yang lebih mengagumkan adalah bahawa bagi bulan Mei kepada September 2018, jumlah FDI keseluruhan yang diluluskan dalam sektor pembuatan ialah RM35 bilion berbanding RM7.3 bilion pada Mei ke September 2017.

“Peningkatan RM27.7 bilion atau 379% seperti yang ditunjukkan membuktikan bahawa keyakinan pelabur asing telah melonjak di bawah kepimpinan baru Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, selepas peralihan kuasa secara aman yang berlaku pada 9 Mei 2018,” ujarnya. – MalaysiaGazette