Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali
Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Pelbagai hujah dikeluarkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) berhubung himpunan bantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) Sabtu ini.

Ahli Majlis Syura Ulamak Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, alasan itu menunjukkan PH takut dengan gerakan rakyat yang menyatukan ahli dari Pas dan UMNO.

Beliau percaya, pemimpin PH sudah tahu nasib bakal diterima mereka jika penyatuan kedua parti dua parti terbesar orang Melayu dan Islam itu kekal sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Sekiranya kesatuan ini kekal sehingga ke PRU15, semua telah dapat meramalkan apa nasib kerajaan PH termasuk di peringkat negeri.

“Enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah dan Perak sudah pasti bukan lagi milik mereka, begitu juga kerajaan Persekutuan akan bertukar tangan kerana majoriti kerusi Parlimen bukan lagi milik PH.

“Inilah ketakutan sebenar mereka,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Justeru, kata Dr Mohd Khairuddin, beliau melihat pengumuman penangguhan ICERD oleh Pejabat Perdana Menteri baru-baru ini hanya satu strategi bagi menghalang kesatuan Melayu Islam itu.

Ujarnya, penangguhan itu bukan datang dari hati suci nurani dan atas kesedaran bahawa ICERD perlu ditolak kerana bercanggah dengan perlembagaan dan kepentingan Melayu serta Islam yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Himpunan ini juga bakal memperingatkan rakyat kecenderungan PH untuk merobohkan empat tonggak asas bernegara iaitu Islam, kedaulatan Raja-raja Melayu, Bahasa Melayu dan hak istimewa Melayu dan Bumiputera.

“Mereka boleh berlakon kononnya memberikan peruntukan bagi Islam dan beberapa kepentingan majoriti rakyat, tetapi hakikat sebenar ia hanya topeng bagi menutup agenda mereka,” katanya.

Beliau berkata, sudah terang lagi bersuluh menerusi ucapan beberapa Ahli Parlimen PH khususnya dalam kalangan bukan Melayu untuk menidakkan asas bernegara itu.

“Teriakan “ini Malaysian Land bukan Malay Land” di Dewan Rakyat ketika pertelingkahan sesama Ahli Parlimen menggambarkan isi hati mereka. Tekanan dari mereka untuk ICERD diratifikasi sangat jelas dan gagah dilaungkan di Dewan Rakyat sebelum ini.

“Hanya setelah amaran keras dikeluarkan oleh pemimpin Pas dan UMNO; dan melihat kesatuan rakyat dalam isu ini baharulah mereka kendur dan mengambil sikap undur selangkah,” tegasnya.

“Adakah mereka akan terus berundur? Tidak, niat mereka tidak pernah surut. Jika tidak menerusi ICERD sekalipun, kehendak itu akan dijelmakan pula menerusi pindaan akta berkaitan sedikit demi sedikit kerana mereka memiliki majoriti mudah di Dewan Rakyat,” katanya.

Kata beliau, ICERD hanyalah mukaddimah, terdapat beberapa lagi konvensyen antarabangsa yang bercanggah dengan kepentingan Melayu dan Islam dalam negara ini masih diperjuangkan oleh pemimpin PH khususnya DAP dan PKR seperti Konvensyen Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR).

Jelas Dr Mohd Khairuddin lagi, pemimpin Melayu-Islam dalam PH hanya badut yang menari menurut kehendak DAP. – MalaysiaGazette