Annuar Musa
Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa menyifatkan Pakatan Harapan (PH) berfungsi sebagai ‘kerajaan koktel’ yang mempunyai perbezaan ideologi politik yang sangat kuat.

Setiausaha Agung UMNO itu berkata, dalam ‘kerajaan koktel’ itu ramai yang berfahaman sosialisma dan Malaysian Malaysia, manakala sangat sedikit dalam kalangan mereka yang mahu menjaga hak Bumiputera, tetapi tidak berani bersuara.

Jelas beliau, akibat daripada itu apabila timbul isu seperti ICERD, yang mana DAP penajanya, maka berlaku kekeliruan dalam kalangan mereka.

“Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak setuju, Parti Amanah Negara (PAN) tidak setuju, PKR sekejap setuju, sekejap tidak setuju.

“Sepatutnya, kita mesti berpegang kepada realiti iaitu acuan terbaik yang berjaya membina Malaysia ialah Perlembagaan Persekutuan, bukan acuan luar,” katanya pada program FB Live Diskusi U3.0 Penerangan UMNO di sini, semalam.

Annuar berkata, Perdana Menteri yang juga Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri berdepan dengan senario di mana dalam PH sudah ada gerakan yang menikamnya dari belakang.

Dalam kalangan rakyat pula ujar beliau, sudah muak dengan tindakan kerajaan PH yang asyik menyalahkan orang lain bagi menutup kelemahan mereka. – MalaysiaGazette