Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian

ISKANDAR PUTERI – Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian hari ini menegaskan yang beliau bukanlah ‘boneka’ kepada sesiapa, sebaliknya hanya bertuankan kepada rakyat negeri ini.

Beliau berkata beliau bertuankan rakyat kerana rakyat telah memberi kepercayaan kepada pasukannya untuk mentadbir Johor dan dengan itu, beliau tidak akan sesekali mengkhianati kepercayaan tersebut.

“Di dalam dewan yang mulia ini, saya sebagai wakil rakyat dan juga Ketua Eksekutif kerajaan negeri ingin menegaskan apa juga kepentingan rakyat, akan didahulukan walaupun berdepan dengan pelbagai rintangan.

“Percayalah, saya dan barisan exco akan terus bekerja kuat untuk negeri ini. Kami tidak akan sesekali mengkhianati hak dan amanah rakyat,” katanya ketika sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini.

Kenyataan Osman itu sekali gus menangkis dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau hanyalah ‘boneka’ bagi sesetengah pihak berkepentingan.

Berhubung isu lain, Osman memberitahu kerajaan negeri akan berbincang dengan kerajaan pusat dan Felda bagi membolehkan tapak-tapak masjid, surau, sekolah agama dan lain-lain rizab agama Islam dalam kawasan Felda, diberi milik kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) selaku pemegang amanah tunggal semua wakaf di negeri ini.

Katanya, perbincangan itu akan memastikan proses (beri milik) berjalan selari dengan peruntukan yang terdapat dalam Akta 530, di samping untuk memenuhi Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor.

“Dengan usaha sedemikian, kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam Negeri Johor serta MAINJ dapat melakukan pemantauan dan pembaikan sekolah agama, masjid dan surau di kawasan Felda dan secara langsung memberikan manfaat kepada penduduk,” katanya.

— BERNAMA