Hantaran di Instagram Story Serena yang mengutuk perhimpunan ICERD baru-baru ini.
Hantaran di Instagram Story Serena yang mengutuk perhimpunan ICERD baru-baru ini.

PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mempertahankan tindakan cucunya yang mengutuk Perhimpunan Ummah menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Sabtu lalu.

Tegasnya, cucunya itu adalah seorang manusia biasa yang mempunyai hak untuk menyatakan pendirian beliau.

“Dia seorang yang bebas dan mempunyai hak untuk menyatakan apa sahaja pendapat.

“Jika ada apa-apa, anda boleh tanya dia sendiri,” katanya semasa sidang media selepas melancarkan Konvensyen Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan di sini hari ini.

Sabtu lalu, Melia Serena Muhriz, 17, memuat naik sekeping gambar perhimpunan tersebut di Instagram story dengan kapsyen “Memualkan. Saya tidak kisah sekiranya ada yang ambil hati. Sangat-sangat mengecewakan”.

Manakala kapsyen kedua di hantaran yang sama, Melia Serena yang menggunakan nama akaun serena.muhriz menulis “Wawasan 2020 lebur kerana anda semua.”

Hantaran-hantaran tersebut mendapat pelbagai maklum balas daripada netizen yang rata-rata mengutuk tindakan beliau itu.

Walaupun Instagram story hanya akan tamat selepas tempoh 24 jam namun paparan yang sempat disimpan oleh netizen masih lagi berlegar di media-media sosial.- MalaysiaGazette