Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang dalam proses mengenal pasti aset-aset yang boleh dijual dalam usaha mengurangkan hutang negara dan memastikan konsolidasi fiskal.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, aset-aset ini akan dijual melalui kaedah yang terbuka dan telus.

Kerajaan juga masih mengkaji potensi sama ada untuk merasionalisasikan syarikat-syarikat yang mempunyai mandat penubuhan yang sama atau menutup syarikat yang mempunyai beban fiskal kepada negara.

Atau melupuskan kepentingan kerajaan dalam syarikat-syarikat yang mempunyai nilai komersil, memberikan kesan crowding out (peningkatan keterlibatan kerajaan) kepada penglibatan swasta dalam industri ataupun peranannya sudah tidak relevan dengan objektif awal penubuhannya.

Namun, pelupusan pegangan kerajaan dalam syarikat-syarikat kerajaan akan mengambil kira beberapa faktor termasuk nilai yang telah dicipta dalam syarikat, kepentingan komersial dan strategik kepada pemegang saham (kerajaan) dan kemampuan pemilik baru untuk membawa syarikat yang akan dilupuskan ke tahap yang lebih baik.

“Pertimbangan dan keputusan untuk melupuskan atau memansuhkan mana-mana syarikat MKD (Kementerian Kewangan Diperbadankan akan dibuat berdasarkan kepada prestasi syarikat, peranan syarikat-syarikat kerajaan dari segi mandat penubuhan, keperluan industri dan kemampuan syarikat untuk beroperasi, kesan kepada fiskal negara dan kesan terhadap penglibatan sektor swasta dalam industri serta lain-lain aspek yang perlu dikaji secara holistik,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas) yang bertanyakan apakah contoh aset Kerajaan Persekutuan yang disifatkan sebagai tidak kritikal dan bukan strategik yang ingin dijual dalam masa terdekat
ini.

Guan Eng berkata, kerajaan juga akan memastikan aset yang dijual kelak mampu memberikan nilai terbaik kepada negara.
“Di sini, perlu ditegaskan bahawa kerajaan tidak akan menjual aset negara melalui kaedah fire sale (jual murah) agar dapat memperoleh nilai yang terbaik,” ujarnya.