Pelabur asing menjual sejumlah AS$704.3 juta ekuiti minggu lalu berbanding AS$705.4 juta pada minggu sebelumnya. - MIDF Research
Menara MIDF di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Pelabur asing terus menarik keluar dana daripada bursa dalam tempoh lima minggu dalam keadaan perlahan.

Berdasarkan data dari bursa, aliran keluar dana asing pada minggu lalu berjumlah RM80.3 juta. Ia merupakan satu pertiga daripada aliran keluar pada minggu sebelumnya.

MIDF Research berkata, aliran keluar bermula pada minggu lalu dengan jualan sebanyak RM83.1 juta pada hari Isnin meskipun Amerika Syarikat dan China mengumumkan gencatan perang perdagangan selama 90 hari,

Ia selari dengan trend pasaran serantau seperti Korea Selatan dan Taiwan yang mengalami inflasi besar berikutan perkembangan terkini dalam perdagangan antarabangsa.

Firma penyelidikan itu berkata, tetapi pelabur luar pesisir kembali sebagai pembeli dengan memiliki RM76.1 juta dan RM69.9 juta ekuiti, masing-masing pada hari Selasa dan Rabu – mengambil kesempatan kenaikan harga minyak Brent kepada AS$62 setong menjelang mesyuarat OPEC pada hari Khamis.

Secara kebetulan ia seiring dengan kenaikan ringgit sebanyak 0.45 peratus kepada 4.1465, paras tertinggi lebih dari sebulan berbanding dolar.

MIDF Research menambah, berita penahanan Ketua Pegawai Kewangan Huawei telah menyebabkan pasaran Asia merosot, mendorong para pelabur untuk berundur keluar.

Malaysia menyaksikan aliran keluar sebanyak RM59.9 juta pada hari Khamis.

Sentimen negatif berlarutan pada hari Jumaat dengan aliran keluar dana asing sebanyak RM83.1 juta apabila OPEC tidak mengumumkan sebarang keputusan hasil perbincangan mengenai pengurangan bekalan minyak.

Bagaimanapun, OPEC akhirnya bersetuju untuk memotong bekalan minyak sebanyak 1.2 juta tong sehari mulai Januari depan.

MIDF Research berkata, jumlah aliran keluar bersih pelabur asing setakat ini berjumlah RM10.74 bilion atau AS$2.66 – bilion – masih belum tinggi berbanding Thailand dan Indonesia yang mencecah AS$3 bilion. – MalaysiaGazette