Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika keluar dari Mahkamah Sesyen selepas mendengar pengurusan kes atas 25 pertuduhan salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta. foto FAREEZ FADZIL, 23 NOVEMBER 2018
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika keluar dari Mahkamah Sesyen selepas mendengar pengurusan kes atas 25 pertuduhan salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta. foto FAREEZ FADZIL, 23 NOVEMBER 2018

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipercayai ditahan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira 10.51 pagi tadi.

Menurut sumber MalaysiaGazette, penahanan itu dibuat sebaik sahaja Najib hadir ke SPRM hari ini untuk memberi keterangan berhubung isu pindaan Laporan Pengauditan Akhir 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Terdahulu Najib hadir ke ibu pejabat SPRM kira-kira jam 10.42 pagi tadi.

Beliau kelihatan dibawa dengan menaiki sebuah SUV Kia Sorento berwarna perak dengan nombor pendaftaran WC1044W.

Ini merupakan kali kedua bekas Presiden UMNO itu dipanggil ke SPRM bagi isu pindaan laporan audit itu mengenai syarikat pelaburan strategik itu sejak Khamis lepas.

Pada 26 November lalu,  Tan Sri Dr Madinah Mohamad dalam laporannya mendedahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB diubah dan perkara itu diketahui oleh Najib sendiri.

Dua perkara penting yang tidak dimasukkan di dalam laporan itu ialah mengenai kehadiran ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB dan status kewangan 1MDB.

Menurut Madinah, perkara itu diarahkan bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Salleh pada 26 Februari 2016 atas alasan ia sensitif dan bagi mengelak fakta diputar belit oleh pembangkang ketika itu. – MalaysiaGazette