KUALA LUMPUR – UMNO Sabah dijangka dibubarkan dan pengumumannya bakal dibuat oleh Pengerusi Perhubungan Negeri parti tersebut.

Sebuah portal melaporkan melaporkan empat Ahli Parlimen UMNO Sabah dijangka keluar parti itu bagi menjadi wakil rakyat bebas dan menyokong Kerajaan Pakatan Harapan.

Empat Ahli Parlimen itu ialah Abd Rahim Bakri (Kudat), Azizah Mohd Dun (Beaufort), Zakaria Mohd Edris (Libaran) dan Ronald Kiandee (Beluran).

Kiandee ialah Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Tetapi, Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin dikatakan akan kekal bersama UMNO.

UMNO memiliki 8 daripada 26 kerusi Parlimen di Sabah.

Tetapi, Datuk Seri Anifah Aman (Kimanis) dan Rozman Isli (Labuan) telah keluar daripada parti tersebut.

Manakala Ahli Parlimen Sipitang, Yamanani Hafez Musa, juga wakil rakyat UMNO masih belum mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen.

Beliau diberi masa sehingga 15 Januari ini untuk berbuat demikian atau kerusi berkenaan diisytiharkan kosong. – MalaysiaGazette