KUALA LUMPUR –  Seramai 130 kakitangan Lynas Corporation Ltd. (Lynas) di Gebeng, Kuantan menempuh perjalanan sepanjang malam dan tiba di Parlimen jam 8 pagi tadi untuk menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri agar operasi syarikat di Pahang tidak ditutup.

Mereka yang terdiri daripada pelbagai peringkat termasuk kerani dan tukang sapu berdiri di luar perkarangan Parlimen dalam keadaan panas terik hampir tiga jam semata-mata mahu menarik perhatian wakil rakyat dari Pahang.

Ini kerana, mereka mendakwa selama ini suara-suara mereka tidak didengari.

Di tangan mereka masing-masing membawa kain rentang dan sepandu dengan tanda pagar seperti  #SaveLynas, #KamiWargaKuantan, Hidup Lynas, Selamatkan Kerja Kami, Bantu Kami, Selamatkan Rezeki Kami.

MGF11122018_PEKERJA LYNAS HANTAR MEMORANDUM_01
Pekerja-pekerja LYNAS hadir berhimpun bagi menghantar memorandum bantahan di luar Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 11 DISEMBER 2018.

Rata-rata mereka berharap Tun Dr Mahathir Mohamad campur tangan dan mendengar rintihan serta bertindak adil terhadap Lynas dan pekerja-pekerja syarikat berkenaan.

Jurucakap kumpulan ini yang ditemui MalaysiaGazette, Jumaat Mansor berkata, Lynas kini berdepan dengan isu birokrasi melibatkan pematuhan saringan operasi kilang dan berisiko menyebabkan lesen syarikat itu tidak dapat diperbaharui sebelum September 2019.

Beliau yang Pengurus Kanan Sumber Manusia Lynas berkata, sudah wujud kebimbangan kalangan pekerja syarikat itu tentang masa depan mereka seandai operasi Lynas di Pahang ditutup.

“Kami tidak faham kerana perlu berdepan dengan isu ini walaupun secara saintifiknya Lynas telah disiasat dan dikaji sebanyak empat kali.

MGF11122018_PEKERJA LYNAS HANTAR MEMORANDUM_07
Pekerja-pekerja LYNAS hadir berhimpun bagi menghantar memorandum bantahan di luar Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 11 DISEMBER 2018.

“Antaranya Agensi Tenaga Atom Antarabangsa IIAEA) pada 2011, Jawatankuasa Pilihan Parlimen pada 2012, sekali lagi IAEA pada 2014 dan juga Jawatankuasa Kajian Semula (RC) pada 2018.

“Empat kali dicabar di mahkamah sejak 2012 sehingga 2015. Kami juga di bawah kawalan dan perundangan ketat oleh AELB, DOE, DOSH, KKM dan MITI.

“Semua kajian itu mendapati Lynas Malaysia telah patuh kehendak perundangan, peraturan dan saranan. Risiko operasi juga rendah, malah semua saranan dibuat oleh pakar juga telah dipatuhi tetapi masih tidak puas hati.

“Kami bukan sesuka hati atau sengaja berhimpun di sini begitu sahaja, sebaliknya kami mahu suara kami didengari, kami mahu kerajaan baharu ini berlaku adil terhadap kami juga. Dalam memorandum ini kami telah nyatakan agar memberikan perhatian terhadap nasib golongan pekerja sebelum membuat apa-apa keputusan,” katanya.

MGF11122018_PEKERJA LYNAS HANTAR MEMORANDUM_19
Pengurus Sumber Manusia Lynas, Jumaat Mansor berhimpun bagi menghantar memorandum bantahan di luar Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 11 DISEMBER 2018.

Jelas Jumaat, jika isu ini tidak diselesaikan segera, kira-kira 1,000 kakitangan Lynas dengan lebih 90 peratus daripadanya merupakan warga tempatan, bakal kehilangan pekerjaan.

Malah hampir 4,000 isi rumah akan menjadi mangsa seandainya sebarang keputusan drastik di ambil terhadap Lynas, tambahnya.

“Ini periuk nasi kami. Tolonglah dengar rintihan kami, kami juga pengundi yang mengundi kerajaan baharu kerana mahukan perubahan,” ujarnya.

MGF11122018_PEKERJA LYNAS HANTAR MEMORANDUM_11
Pekerja-pekerja LYNAS hadir berhimpun bagi menghantar memorandum bantahan di luar Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 11 DISEMBER 2018.

Memorandum itu juga akan dihantar kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin.

Selain daripada itu, memorandum itu akan disampaikan kepada Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu atas kapasiti sebagai Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga merupakan Menteri Luar. –MalaysiaGazette