Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa bercakap kepada media pada sesi Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 11 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Spekulasi empat Ahli Parlimen UMNO Sabah akan keluar parti itu bukan khabar angin.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa memberi jaminan bahawa UMNO Sabah tidak akan sesekali dibubarkan.

Jelas Annuar, beliau telah bercakap dengan wakil-wakil rakyat terbabit dan mereka memaklumkan mempunyai masalah terutamanya isu kekakangan peruntukan serta wang, selain daripada tidak memiliki kuasa.

“Di Sabah ini lain sedikit corak politiknya, mereka memerlukan peruntukan serta kuasa untuk kekal relevan apatah lagi jika menjadi wakil rakyat. Ini tidak sama dengan Semenanjung, di sana anda perlukan wang.

“Ketika ini, seperti anda semua tahu, kita tidak ada wang, dana kita telah dibekukan. Sudah tentu kita sedang berikhtiar tetapi kita tidak dapat janji untuk memberikan dana.

“Kita juga tidak ada kuasa lagi untuk melakukan projek pembangunan, di Sabah juga tidak mampu.

“Ini adalah luahan hati wakil-wakil rakyat ini yang saya tidak boleh salahkan. Di Sabah ianya lain. Mereka mahukan pembangunan dan peruntukan dana. Untuk itu, mereka perlukan wang dan juga kuasa.

“Tetapi jaminan yang kita boleh berikan di sini, walau apapun berlaku, UMNO di Sabah kita tidak akan bubarkan. Kita masih mempunyai penyokong dan ahli khasnya generasi muda yang masih mahu bersama kita. Selagi ada mereka, selagi itu kita akan kekal di Sabah.

“Tiada isu pembubaran, kita tidak boleh halang mana-mana wakil rakyat kita daripada keluar parti, tetapi saya tegaskan, sesiapa yang berbuat demikian, tempat mereka akan digantikan dengan yang lain,” katanya kepada pemberita di lobi sebentar tadi.

Beberapa media melaporkan empat Ahli Parlimen UMNO Sabah dijangka keluar parti itu bagi menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong Kerajaan Persekutuan.

Empat Ahli Parlimen yang akan keluar Umno ialah Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abd Rahim Bakri, Ahli Parlimen Beaufort, Azizah Mohd Dun, Ahli Parlimen Libaran Zakaria Mohd Edris dan Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee.

Annuar Musa juga mendedahkan beliau mendapat tahu ada antara wakil-wakil rakyat ini telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kelmarin.

“Ramai wakil rakyat sama ada Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri dan yang berjawatan lain sentiasa diajak, di risik dan ditawarkan ‘sesuatu’ oleh pihak lawan apatah lagi kini mereka mempunyai kuasa. Kita tidak boleh halang semua itu tetapi kita akan tetap utuh bersama.

“UMNO masih relevan dan masih lagi parti yang sah untuk berpolitik” ujarnya. –MalaysiaGazette