Mohd Azis Jamman
Mohd Azis Jamman

KUALA LUMPUR – Ahli politik UMNO Sabah yang baharu sahaja keluar parti dialu-alukan untuk menyertai Warisan apatah lagi penyertaan mereka mungkin boleh membantu memperkukuhkan parti itu.

Bagaimanapun, Ketua Wiranya, Datuk Mohd Azis Jamman menegaskan, kehadiran mereka juga bersyarat antaranya tidak sesekali menjadi liabiliti kepada parti Warisan kelak.

“Apa yang penting ingin kita nyatakan di sini, mereka semua boleh menyertai Warisan tetapi dengan bersyarat, mereka perlu memahami perjuangan kita dan menerima perjuangan kami.

“Jangan menjadi liabiliti kepada parti kita, jika sedemikian ianya akan memberi imej tidak baik kepada Warisan, semua ini perlu difahami dan dipatuhi. Itu yang penting.

“Sudah tentu kita mengalu-alukan kehadiran mereka jika kepimpinan mereka ini boleh membantu memperkukuhkan parti kita. Bagaimanapun, keputusan muktamad juga terletak di tangan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen sebentar tadi.

Dalam pada itu, Mohd Azis yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan kehadiran UMNO Sabah ini tidak akan sesekali merencatkan hubungan sedia ada para pemimpin serta penyokong yang berjuang sejak awal lagi.

“Warisan akan memastikan penyokong dan pemimpin awal dalam perjuangan kita tidak dipinggirkan dengan adanya kemasukan ahli-ahli baharu. Mereka hanya diterima untuk kebaikan,” ujarnya.

Hari ini, bekas Pegerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Hajiji Noor bersama barisan kepimpinan lain bertindak keluar UMNO sebentar tadi.

Secara keseluruhannya, yang meninggalkan UMNO Sabah terdiri daripada enam Ahli Parlimen, sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), dua senator dan 21 Ketua UMNO Bahagian Negeri. – MalaysiaGazette