Wakil-wakil UMNO Sabah yang meninggalkan parti itu bergambar pada sidang media yang diadakan pada hari ini.

KUALA LUMPUR – Tindakan enam ahli Parlimen dan sembilan ADUN Sabah keluar dari UMNO hari ini didorong oleh rasa kecewa terhadap barisan kepimpinan parti itu yang dirumuskan sebagai gagal menunjukkan hala tuju politik yang jelas.

Lebih mengecewakan apabila wujud pendirian yang berbeza dalam kalangan pemimpin atasan apabila bercakap mengenai masa depan parti selepas Pilihan Raya Umum ke-14 Mei lalu.

“Tidak ada kebencian terhadap UMNO, tetapi hanyalah rasa kecewa. Saya dan rakan-rakan telah mendapat manfaat daripada jalinan hubungan dengan UMNO. Menerusi UMNO kami mendapat keistimewaan dilantik sebagai menteri dan lain-lain jawatan penting,” kata Pengerusi Jawatankuasa UMNO Sabah, Datuk Hajiji Mohd Nor.

Turut membuat keputusan meninggalkan parti adalah dua orang senator dan 21 ketua bahagian (ada di antaranya merupakan ADUN) , manakala tiga lagi belum membuat keputusan.

Setakat ini hanya Datuk Seri Bung Moktar Radin (Kinabatangan) yang menyatakan pendirian untuk kekal dalam UMNO.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata, UMNO Sabah telah mengambil kira bahawa keahlian lebih 100,000 ahli bukan Islam dan sebarang perubahan dalam landskap politik pasti akan menjejaskan sokongan berterusan mereka kepada UMNO.

Bersandarkan alasan-alasan tersebut maka UMNO Sabah, katanya,  mengambil insiatif demi masa depan sendiri untuk keluar daripada parti itu.

“Dengan ini, kami bebas daripada segala pilihan untuk merencana masa depan dalam Malaysia Baharu.

“Selepas mengambil pertimbangan pandangan dan perbincangan dalam kalangan kami, kita telah memutuskan untuk meletakkan jawatan sebagai ahli UMNO berkuatkuasa hari ini.

“Kami sekarang tidak berparti dan akan kekal sebagai bebas sehingga ketika kami memutuskan untuk menyertai parti-parti pilihan kami,” kata Hajiji dalam satu kenyataan dan mengakui keputusan meninggalkan UMNO dibuat dengan penuh berat hati.

Serentak dengan itu, Hajiji berkata, mereka yang meninggalkan UMNO akan memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Pakatan Harapan di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah.

UMNO Sabah mempunyai sejuta ahli berdaftar sejak ia ditubuhkan pada tahun 1991 dan parti itu merupakan tulang belakang kepada kejayaan kerajaan sejak tahun 1994 apabila Barisan Nasional mengambil alih daripada Parti Bersatu Sabah (PBS).

Tambahnya, UMNO Sabah juga berbangga dengan pencapaiannya terutamanya dalam pembangunan negeri itu sejak kedudukan jawatan Ketua Menteri secara bergilir-gilir berakhir pada tahun 2013 dan UMNO memimpin negeri itu tanpa gangguan selama 15 tahun.

Namun, selepas kekalahan Barisan Nasional pada PRU lalu, UMNO Sabah berpendapat parti ini tidak dapat dipertahankan secara politik.

Hajiji menambah, mereka perlu bekerja keras untuk memberi khidmat kepada rakyat Sabah dan membantu Kerajaan Persekutuan membawa lebih banyak pembangunan di negeri itu.

“Pemimpin dan ahli UMNO Sabah perlu bergerak ke arah politik baru. UMNO Sabah adalah parti pragmatik dengan mengutamakan kesejahteraan rakyat dan masa depan Sabah. Ia memerlukan banyak keberanian dan kerja keras untuk membina gerakan dan entiti politik baru,” kata Hajiji lagi.

Beliau menjelaskan, tidak wujud paksaan kepada mana-mana pemimpin atau ahli UMNO untuk meninggalkan parti itu kerana mereka bebas membuat keputusan sendiri namun berharap lebih ramai akan mengikut jejak.

Dalam kenyataan itu, Hajiji merakamkan ucapan terima kasih kepada Barisan Nasional dan UMNO kerana memberi peluang berkhidmat kepada negara dan Sabah.

“Kami tiada kenangan pahit dengan UMNO. Kami meninggalkan UMNO dengan hati yang berat namun kami yakin pembebasan politik dari masa lalu adalah keputusan yang betul untuk membenarkan pembaharuan politik demi kebaikan Sabah,” ujarnya.

Berikut adalah senarai wakil-wakil rakyat UMNO Sabah yang keluar parti:

A. Ahli-Ahli Parlimen

  1. YB Datuk Azizah Mohd Dun
  2. YB Datuk Seri Ronald Kiandee
  3. YB Datuk Rahim Bakri
  4. YB Datuk Zakaria Idris
  5. YB Hafez Yamani Musa
  6. YB Arthur J Kurup (keluar BN)

B. Ahli Dewan Undangan Negeri

  1. YB DSP Hajiji Mohd Noor
  2. YB DSP Masidi Manjun
  3. YB Datuk Japlin Akim
  4. YB Datuk Musbah Jameh
  5. YB Datuk Gullam Haidar Khan
  6. YB Datuk Arifin Arif
  7. YB Datuk Isnin Aliasnih
  8. YB Matbali Hj Musah
  9. YB Datuk Nizam Titingan

C. Senator

  1. YB Datuk Ghani Yassin
  2. YB Datuk John Ambrose

D. Ketua-Ketua Bahagian UMNO 

  1. Datuk Gurahman Hj Lolong
  2. Datuk Wetrom Bahanda
  3. DSP Salleh Said Keruak
  4. DSP Hajiji Mohd Noor
  5. Datuk Faisyal Deigo
  6. Datuk John Ambrose
  7. DSP Rahim Ismail
  8. Datuk Arifin Arif (memangku)
  9. Datuk Isnin Aliasnih
  10. Datuk Sapawi Ahmad
  11. Datuk Ghani Yassin
  12. Datuk Sairin Karno
  13. Samad Jambri
  14. Datuk Awang Kadin
  15. Firdaus Akbar Khan
  16. Abdul Hakim Sidek
  17. Datuk Ramlee Marhaban
  18. Datuk Nizam Titingan
  19. Datuk Juslie Ajirul
  20. Datuk Arsit Sedi
  21. DSP Masidi Manjun

E. Yang Belum Buat Keputusan

  1. Datuk Yakub Khan
  2. Datuk Raime Unggi
  3. Karim Wahid (dil uar negeri)

F. Kekal UMNO

  1. Datuk Seri Bung Moktar Radin

— MalaysiaGazette