Sebahagian kepimpinan UMNO Sabah yang mengumumkan keluar parti.

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (Ikatan) menggesa wakil-wakil rakyat Pas untuk mengusulkan akta “Anti Lompat Parti” secepat mungkin agar mana-mana wakil rakyat yang melompat parti atau keluar parti dan menjadi wakil bebas mengosongkan kerusi mereka bagi membolehkan rakyat memilih semula.

Ketua Pemuda Dewan Pemuda Ikatan, Shahir Adnan berkata, pemimpin-pemimpin perlu sedar kemenangan mereka semasa pilihan raya adalah disebabkan oleh jentera parti, khidmat ahli-ahli parti akar umbi, manifesto parti dan
kesepakatan antara pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli parti yang mendukung calon-calon parti di setiap Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

Lantaran itu, Dewan Pemuda Ikatan berharap tindakan sebegini harus diberhentikan agar proses demokrasi terus subur.
“Rakyat telah memilih pada PRU-14. Seharusnya setiap wakil rakyat bekerja keras sehingga PRU-15 dan tidak terbabit di dalam sebarang percaturan politik untuk menentukan mana-mana individu terus berkuasa atau menghalang mana-mana
individu mendapat kuasa di peringkat tertinggi dalam negara kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Sharil, pihaknya memandang serius perkembangan politik di Sabah, terutama tindakan Ahli Parlimen dan Adun yang melompat parti secara beramai-ramai.

“Memang benar, setiap individu tersebut mempunyai hak masing-masing untuk menentukan wadah perjuangan mereka. Sehingga hari ini, tiada mana-mana parti politik termasuk UMNO yang boleh menghalang wakil rakyat melompat parti atau menjadi bebas berdasarkan perundangan negara.

“Walaupun tidak menjadi satu kesalahan dari segi undang-undang sekarang, namun tindakan keluar parti tanpa mengosongkan kerusi bagaikan tindakan mengkhianati amanah rakyat, mengkhianati perjanjian parti, dan mengkhianati keyakinan pengundi di kawasan mereka,” ujar beliau.

Ikatan yang merupakan gabungan dalam Gagasan Sejahtera bersama Pas mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen dan ADUN Pas yang langsung tidak terpalit dengan isu tersebut.

Semalam, sebahagian besar kepimpinan UMNO Sabah mengumumkan keluar UMNO membabitkan sembilan ADUN dan lima Ahli Parlimen dan dua Senator serta 21 Ketua Bahagian.

Mereka yang bertindak keluar parti itu mengumumkan akan memberi sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Shafie Apdal, Ketua Menteri Sabah. – MalaysiaGazette