Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menutup permohonan pembelian tiket final kedua Piala AFF Suzuki 2018 di antara Malaysia dan Hanoi pada tengah malam tadi.

Sebarang pembelian yang dibuat selepas tempoh berkenaan, tidak akan diproses dan disahkan, kata FAM dalam satu kenyataan di sini.

Badan induk bola sepak itu juga mengucapkan terima kasih kepada penyokong skuad Harimau Malaya yang sudah membeli tiket menerusinya.

Perlawanan final kedua itu akan berlangsung di Stadium My Dinh, Hanoi pada hari Sabtu ini.

“Sokongan anda sangat dinanti-nantikan bagi menyemarakkan lagi semangat para pemain Harimau Malaya dalam memburu kemenangan di Hanoi untuk menjulang trofi kejuaraan itu,” jelas FAM.

Sebanyak 3,000 tiket diperuntukan Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) kepada penyokong Malaysia untuk perlawanan kedua Piala AFF di Hanoi.

Dalam final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa lalu Malaysia mencatatkan keputusan seri 2-2 dengan Vietnam. – MalaysiaGazette